ANGGOTA penguat kuasa merampas pakaian berjenama tiruan.
ANGGOTA penguat kuasa merampas pakaian berjenama tiruan.

Kuala Lumpur: Promosi ‘harga runtuh’ pelbagai pakaian jenama terkemuka di sebuah premis di Danau Kota, di sini, membongkarkan rahsia seorang peniaga yang menjual barangan tiruan.

Perbuatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur melakukan serbuan terhadap premis berkenaan jam 1 petang, kelmarin.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada wakil sah pemilik cap dagang jenama terbabit.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas 1,451 pakaian dan aksesori jenama Adidas, Nike, Prada dan Louis Vuitton.

“Hasil siasatan, premis terbabit dikesan mempunyai cawangan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Gelugor.

“Ekoran itu, satu lagi serbuan dijalankan dan kami berjaya merampas 293 pakaian jenama tiruan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, rampasan dianggarkan berjumlah RM24,190 berdasarkan kepada harga pasaran semasa barangan yang dijual di dua premis terbabit.

Rosli berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

Sehubungan itu, Rosli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan barangan tiruan menghubungi mana-mana pejabat KPDNKK untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 6:41 AM