PEGAWAI KPDNKK merampas pelbagai barangan tiruan di sebuah premis.
PEGAWAI KPDNKK merampas pelbagai barangan tiruan di sebuah premis.
Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Barangan jenama Levi’s ‘ciplak’ dihasilkan di Chow Kit. Itu antara penipuan dibongkar Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hasil serbuan dilakukan.

Dalam operasi jam 1 petang semalam, dua premis di Jalan Haji Taib, diserbu selepas didapati menjual dan mengadakan promosi harga runtuh barangan tiruan.

Promosi itu dikesan menjual pelbagai aksesori seperti beg, dompet, tali pinggang dan topi jenama Levi’s serta jenama lain.

Serbuan dilakukan KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hasil aduan pemilik sah cap dagang dan risikan selama seminggu.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, pihaknya merampas 1,194 barangan tiruan dianggarkan bernilai RM13,527.

Katanya, siasatan mendapati ada antara pelancong asing turut ditipu selepas membeli produk berkenaan.

“Pemilik dan pekerja premis itu turut diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap unit barangan atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun.

“Sekiranya kesalahan dilakukan oleh sesuatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM15, 000 bagi setiap unit barangan,” katanya.

Sehubungan itu Rosli menyarankan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli barangan berjenama yang dikhuatiri palsu.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghubungi mana-mana pejabat KPDNKK untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 8:55 AM