JAMAL bakal gegar Setia City Park, Shah Alam pada 2 April ini.
JAMAL bakal gegar Setia City Park, Shah Alam pada 2 April ini.

Usia 25 tahun diibaratkan melangkah dunia dewasa dan dianggap penting sebagai satu peralihan baru kepada kehidupan seseorang. Tahap usia ini dianggap matang dan mampu berdikari.

Itulah juga yang dilalui akhbar Harian Metro yang genap usianya 25 tahun kelmarin. Mengimbau sejarah penerbitannya pada 25 Mac 1991, Harian Metro adalah akhbar petang pertama dilancarkan untuk warga Kuala Lumpur ketika itu.

Bermula hanya di Lembah Klang, sejarah membuktikan akhbar ini mendapat sambutan hangat dan berkembang jauh melepasi sempadan asalnya.

Kini Harian Metro berdiri teguh menyalurkan berita, cerita dan informasi yang dekat di hati masyarakat. Walau berdepan pel­bagai cabaran, tanggapan dan persepsi, Harian Metro muncul sebagai akhbar harian nombor satu Bahasa Malaysia dengan jumlah pembaca melebihi 3 juta orang.

Saya sendiri bangga menjadi kakitangan akhbar ini sejak awal 1993, bermakna sebahagian usia saya adalah bersama akhbar ini. Banyak pengalaman dan kenangan suka dan duka dilalui sepanjang tempoh itu.

Dunia saya di sini juga melalui perubahan daripada wartawan di Meja Berita kemudian di Meja Hiburan. Daripada Wartawan Eksekutif kepada Penolong Pengarang Hiburan di Harian Metro dan kini Pengarang Hiburan di Metro Ahad.

Sesuai dengan perubahan masa, akhbar ini juga berubah wajah dan sentiasa cuba memperbaiki pengisiannya untuk kepuasan pembaca.

Sempena ulang tahun ke-25 Harian Metro, wajah akhbar ini turut berubah bermulakelmarin manakala Selebriti Metro Ahad juga berubah wajah bermula hari ini.

Bagaimanapun, ia bukan perubahan drastik atau revamp secara besar-besaran sebaliknya lebih kepada penambahbaikan mana-mana yang dirasakan perlu.

Kolum baru yang dirasakan lebih santai dan ringan diperkenalkan seperti Tip Glam, Gaya Selebriti, Suka VS Benci dan Relaks.

Bagi penulis undangan, Nota Neelofa mengakhiri coretannya minggu lalu. Bermula hari ini, Ayda Jebat diberi peluang berkongsi cerita menarik melalui ruangannya, Muah Ciked.

Terima kasih Neelofa yang sangat komited sepanjang menjadi penulis tamu Selebriti selama lebih dua tahun bermula awal Januari 2014.

Lamaran kepada Neelofa disuarakan di pulau indah Maldives ketika sama-sama mengikuti rombongan Air Asia akhir 2013.

Persetujuan Neelofa disambut dengan rasa gembira dan terharu kerana sudi berkongsi cerita dengan pembaca menggantikan pelakon Shaheizy Sam. Kini Ayda pula sedia menyahut cabaran berkongsi cerita dan kisahnya bersama pembaca.

Terima kasih Neelofa dan selamat datang Ayda Jebat.

Konsert hargai pembaca seluruh negara

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 Harian Metro, akhbar ini ingin berkongsi suka duka kejayaan dengan pembaca dengan menganjurkan Konsert Ledakan 25 Harian Metro.

Ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Harian Metro kepada pembaca yang setia me­nyokong akhbar ini hingga terus gagah selama 25 tahun.

Bakal berlangsung di Setia City Park, Setia Alam pada 2 April depan, ia dimeriah­kan dengan persembahan artis terkenal tanah air, Datuk Jamal Abdillah, Amy Search dan Ella yang berjuang dalam dunia seni lebih 25 tahun.

Tidak lupa penyanyi generasi muda seperti Dayang Nurfaizah, Siti Nurdiana dan Ezad Lazim serta barisan pelapis, Drama Band dan Ayda Jebat.

Terima kasih kepada penyanyi terkenal dan popular tanah air yang sudi menjayakan konsert ini dengan harga kasih sayang sebagai menghargai sokongan akhbar ini kepada kerjaya anda semua selama ini.

Kalau diikutkan, jawatankuasa konsert mahu mengumpulkan seramai mungkin penyanyi untuk menggegarkan pentas pada malam itu. Apakan daya, ada yang sangat diharapkan tetapi tidak dapat memberi komitmen dan ada pula yang tidak dapat memenuhi harga kasih sayang yang ditawarkan.

Bukan hanya dugaan mengumpulkan artis, malah lokasi juga terpaksa ditukar pada saat-saat akhir apabila perbincangan yang dilakukan dari awal gagal mencapai kata sepakat.

Selain konsert, satu karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 2 April turut dianjurkan dengan pelbagai aktiviti seperti Zumba Metro, Ejector Trampoline, karaoke, pertandi­ngan gusti lengan dan permainan kereta kawalan jauh.

Untuk kanak-kanak ada giant soap bubbles, sand art dan pertandingan mewarna. Tidak dilupakan, jamu selera di 25 food trucks menjual pelbagai jenis makanan seperti rojak, cendol, nasi lemak, burger dan char kuetiau.

Bagi pembaca di luar Lembah Klang, kami tidak lupakan anda kerana kami sentiasa ingin mendekati anda semua apabila menganjurkan Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt.

Selepas Alor Setar, Kedah pada 12 Mac diikuti Muar, Johor (19 Mac), minggu ini pula di Kuantan, Pahang diikuti Miri dan Kuching di Sarawak pada 9 dan 16 April.

Harian Metro juga tidak melupakan insan yang pernah sama-sama membantu menjayakan akhbar ini dari hari pertama kelahirannya hinggalah kini menginjak usia dewasa. Kata orang tiada yang lama, tiada yang baru.

Satu majlis sambutan ulang tahun ke-25 Harian Metro diadakan esok, jam 8 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam khusus meraikan mantan dan kakitangan akhbar ini yang masih gigih dan setia bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:02 AM