SUASANA pada majlis graduasi pelajar SMPKV Shah Alam.
SUASANA pada majlis graduasi pelajar SMPKV Shah Alam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Shah Alam: Pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) akan diterapkan dengan ilmu keusahawanan bagi membantu mereka untuk memasarkan produk atau perkhidmatan sebaik tamat latihan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Wan Mohd Noor Wan Endut berkata, sekolah disarankan untuk memastikan pelajar yang berjaya menamatkan latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) boleh berdikari tanpa bergantung kepada majikan untuk mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata, pelajar kini lebih memberi fokus kepada latihan kemahiran, namun ilmu keusahawanan akan diterapkan supaya mereka boleh mengembangkan lagi ilmu dan pada masa sama menjana pendapatan.

“Ilmu keusahawanan ini penting supaya pelajar yang berjaya tamatkan latihan SKM mampu berdikari dan apa yang lebih penting mereka supaya tidak bergantung kepada pihak industri atau kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kita mahu pelajar ini mampu menjana pendapatan sendiri dengan kemahiran yang dipelajari di SMPKV dan ia adalah satu kemahiran yang boleh dikembangkan untuk menjadi satu entiti perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi SMPKV Shah Alam, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 57 pelajar berjaya menamatkan SKM pada tahap satu dan dua dalam beberapa bidang, antaranya Pembuat Pakaian Wanita, Pendandan Rambut Muda, Pembantu Penyedia Makanan, Juruteknik Elektrik Rendah dan Pereka Grafik.

Selain itu, pelajar Pembuat Perabot, Jurubatik Lukis, Jurubina Bangunan, Mekanik Penyejukbekuan dan Penyaman Udara Domestik dan Pemasang Badan Motosikal turut menerima sijil masing-masing.

Sementara itu, pelajar terbaik Muhammad Izzat Rosli, 19, berkata dia akan meneruskan pengajian SKM tahap dua dalam bidang elektrik di sebuah kolej di Kuala Selangor dalam tempoh terdekat.

“Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan pelajaran dan menerima sijil Juruteknik Elektrik Rendah tahap satu dengan bantuan guru di SMPKV Shah Alam ini.

“Ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk teruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi supaya cita-cita menjadi juruteknik di syarikat swasta seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) tercapai,” katanya yang mempunyai masalah pendengaran sejak kecil selepas diserang demam panas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:40 AM