Nazri Abu Bakar


SEBELAS pelajar tahfiz mengikuti Kursus Juruteknik Perantisan Aeroangkasa berkonsep Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, Melaka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata, program SLDN pertama kementerian bermula bulan ini dan dijangka berakhir pada 27 November ini.

Menurutnya, huffaz berkenaan akan mengikuti latihan selama tiga bulan di ILP dan tujuh bulan di Composites Technology Research Malaysia (CTRM).

Katanya, mereka yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua bidang pembuatan komposit seterusnya berpeluang bekerja di agensi terbabit.

MAHFUZ bertanya pelajar tahfiz yang menyertai program TVET- Tahfz di ILP Bukit Katil. FOTO Nazri Abu Bakar
MAHFUZ bertanya pelajar tahfiz yang menyertai program TVET- Tahfz di ILP Bukit Katil. FOTO Nazri Abu Bakar

“Program Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET)-Tahfiz di ILP bersama CTRM itu menerima sokongan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“ILP turut merancang untuk menganugerahkan sijil tahfiz kepada mereka yang berjaya menamatkan program tahfiz di institut terbabit.

’Sehubungan itu, saya berharap usaha seperti ini akan dapat dikembangkan ke lebih banyak pusat tahfiz berdaftar sekali gus mampu memberi impak kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program TVET Pemacu Pembangunan Negara di ILP Bukit Katil hari ini.

Mahfuz berkata, Program TVET-Tahfiz itu diilhamkan pada 2019 itu untuk membantu pelajar tahfiz memperolehi sijil kemahiran yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

“Program berkenaan mampu melahirkan golongan teknokrat dan huffaz yang profesional.

“Justeru, laluan TVET diperluas dalam kalangan pelajar tahfiz bagi melengkapkan mereka untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 1:52 PM