WAN Zainuddin dan isteri menunjukkan laporan polis dan gambar anaknya Wan Syazlin.
WAN Zainuddin dan isteri menunjukkan laporan polis dan gambar anaknya Wan Syazlin.

Dungun: “Saya tidak boleh menerima kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa anak saya bukan hilang tapi sengaja melarikan diri daripada keluarga,” kata Wan Zainuddin Wan Isa, 56, bapa kepada Wan Syazlin, 19, yang dilaporkan hilang sejak 5 Februari lalu.

Menurutnya, dia yakin anak keempat daripada tujuh beradik itu tidak akan melarikan diri daripada keluarga dengan sengaja seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Saya lebih mengenali anak saya dan dia tidak akan menghilangkan diri tanpa sengaja.

“Saya merayu kepada mana-mana pihak atau individu yang ada menemuinya atau mengetahui lokasi dia berada supaya dapat menghubungi kami sekeluarga.

“Sehingga kini pelbagai usaha sudah saya lakukan antaranya solat hajat dan baca Yasin supaya anak pulang, namun semuanya usaha itu masih menemui kegagalan,” katanya.

Wan Syazlin yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) di Kuantan, Pahang sepatutnya pulang bercuti sempena cuti panjang Tahun Baru Cina pada 7 Februari lalu, selepas pihak pengurusan kolej memberikan cuti 10 hari kepada semua pelajar sempena perayaan itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya dapat menghubungi saya di talian 013-9337670,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 7:13 AM