dr Mahathir bersama Lim Kit Siang.
dr Mahathir bersama Lim Kit Siang.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup bekerjasama dengan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah perkara mengejutkan.

Bekas Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Prof Ahmad Atory Hussain berkata, perkara itu tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara.

“Saya rasa terkejut. Ini menunjukkan dalam politik tidak ada musuh atau rakan yang kekal. Tindakan Dr Mahathir ini satu inisiatif berlebihan apabila menggembleng pembangkang yang dulunya musuh tegar politik sejak berpuluh tahun untuk duduk semeja.

“Saya rasa rakyat juga terkejut dengan situasi ini. Namun, kita tidak dapat menjangka apa akan berlaku selepas ini, jadi sama-sama tunggu dan lihat.

“Perdana Menteri dipilih oleh rakyat, cara beliau ini seperti tidak sabar untuk menjatuhkan kepimpinannya,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Dr Mahathir bersama 58 individu, termasuk pemimpin pembangkang dan (NGO) menandatangani Deklarasi Selamatkan Malaysia yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, gerakan yang didakwa mewakili suara rakyat itu turut mahu memastikan sistem pentadbiran negara ditadbir dengan sistem demokrasi sebenar.

Antara yang hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, veteran UMNO Tan Sri Sanusi Junid, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Ahmad Atory berkata, dari satu segi, tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan kerajaan menjunjung tinggi prinsip demokrasi di negara ini seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan bersuara.

“Rakyat sudah memberikan mandat kepada wakil bagi menentukan dan menyelesaikan isu tertentu. Tetapi, kini rakyat pula diajak semula bersama-sama seperti biasa berlaku di Barat untuk mengemukakan referendum.

“Apapun, saya berpandangan terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengawal kesan daripada gerakan ini sebaiknya bagi mengelakkan kesan kepada pentadbiran, negara dan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 6:33 AM