HONDA C70 yang banyak berjasa kepada Md Sarif.
HONDA C70 yang banyak berjasa kepada Md Sarif.

Alor Gajah: Bagi mengimbau kenangan ketika berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Md Sarif Haron, 70, membelanjakan RM3,000 bagi membaiki motosikal Honda C70 miliknya empat tahun lalu.

Md Sarif berkata, motosikal klasik itu menjadi tumpuan ramai khasnya peminat motosikal antik malah ada yang pernah menawarkan harga tinggi kepadanya untuk membeli jentera itu berikutan ia kini semakin sukar diperoleh.

Katanya, sebelum ini, motosikal itu tersadai berhampiran reban ayam di belakang rumahnya namun dia mengambil keputusan membaikinya sebagai menghargai jasa jentera terbabit kepadanya serta keluarga.

“Pada zaman saya, Honda C70 ini sudah dianggap mewah malah ia menjadi pengangkutan utama anak perempuan ketika melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM), 24 tahun lalu.

“Kerana dibiarkan terlalu lama, enjin, rim, tayar dan badan motosikal ini berkarat malah menjadi tempat ayam bertenggek. Namun rangka asalnya masih kukuh, berikutan itu saya menghantarnya ke bengkel untuk dibaiki.

“Saya pernah beberapa kali ditawarkan harga lumayan sehingga RM7,000 daripada peminat motosikal klasik yang mahu membelinya namun anak perempuan melarang saya menjualnya kerana ia motosikal kesayangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ramuan China Kecil, Masjid Tanah di sini, semalam.

Menurut Md Sarif, walaupun tersadai lama, enjin motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran JAB 3977 itu masih berfungsi dengan baik selepas dibaiki.

Pesara tentera itu berkata, dia membeli motosikal itu pada harga RM1,200 di pekan Ulu Tiram, Johor pada 1977 iaitu ketika berkhidmat di Batalion Ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

“Honda C70 ini dibeli untuk menggantikan Honda 125 yang saya jual pada harga RM600 kerana rosak akibat ditenggelami banjir. Wang berkenaan dijadikan deposit untuk membeli Honda C70 ini manakala bakinya dijelaskan secara ansuran iaitu RM40 sebulan selama setahun.

“Sejak itu, Honda C70 ini menjadi motosikal kesayangan saya malah ia turut dibawa ke Sarawak selepas diarahkan berpindah ke negeri itu bagi menentang pengganas komunis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:40 AM