ANTARA alas kaki yang dirampas pihak berkuasa, semalam.

Johor Bahru: Perbuatan dua pemilik kedai serbaneka di bandar raya ini menjual ratusan alas kaki yang mengandungi ayat suci al-Quran mengejutkan pengunjung terutama umat Islam yang menganggapnya sebagai penghinaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, berikutan itu, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dengan kerjasama agensi berkaitan mengambil tindakan terhadap premis berkenaan, pagi semalam.

Beliau yakin kegiatan menjual alas kaki yang mengandungi ayat suci al-Quran itu satu perbuatan yang bermaksud untuk menghina dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menurutnya, berikutan aduan pelanggan premis perniagaan di Taman Johor Jaya dan Taman Teratau itu, pihaknya mendapati kes berkenaan benar sebelum mengambil tindakan merampas barangan itu.

“Sebanyak 360 alas kaki yang menggunakan pelapik mengandungi ayat suci al-Quran dirampas dan mengikut maklumat, ia dihasilkan di sebuah kilang di Melaka sebelum dijual di Johor.

“Mungkin ramai peniaga di luar tidak memahami soal sensitiviti umat Islam kerana ia bukan sekadar membabitkan makanan halal, malah perkara yang membabitkan penggunaan ayat suci al-Quran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (PERIMAU), Mohd Ridhwan Othman berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai perkara itu.

Beliau berkata, setiap peniaga perlu lebih berhati-hati berkaitan produk atau barangan yang dijual supaya kegiatan mereka tidak menjejaskan sensitiviti orang ramai.

Menurutnya, perbuatan pemilik kedai serbaneka itu seharusnya dipandang serius dan dikenakan tindakan sesuai supaya ia memberi kesedaran kepada peniaga lain.

“Ia bukan saja menjejaskan sensitiviti umat Islam, sebagai masyarakat majmuk kita perlu menghormati agama masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nor Nekman Jaimon berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara berkenaan dan akan menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit.

“Tiada peruntukan akta secara langsung di bawah KPDNKK berhubung perkara ini, namun kita sedia melakukan siasatan dan pemeriksaan di premis terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Setiausaha Pengguna Bumiputera Johor, Hisham Harun pula berkata, pihaknya juga maklum dengan isu berkenaan selepas menerima kiriman gambar daripada pengadu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 7:14 AM