Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyampaikan ucapan sebelum merasmikan MyRumah 2019 di My Town Shopping Centre, Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyampaikan ucapan sebelum merasmikan MyRumah 2019 di My Town Shopping Centre, Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Sri Ayu Kartika Amri


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal memperkenalkan inisiatif atau skim khas bagi memudahkan golongan pertengahan atau sederhana (M40) memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT kini dalam proses merangka inisiatif berkenaan dan akan mendapatkan kerjasama daripada beberapa agensi berkaitan.

Katanya, kerajaan bukan saja prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah (B40), tetapi juga M40 yang dilihat turut berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Golongan M40 ini nanti akan terbahagi kepada dua kategori iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah RM10,000 ke bawah dan RM5,000 ke bawah.

"Oleh itu, inisiatif atau skim khas ini sedang dirangka bagi membantu mereka menangani isu pemilikan rumah dan ia dijangka diumumkan dalam masa terdekat ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan siri pertama pameran hartanah MyRumah 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Bhd (MPB), Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press M Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew.

MyRumah 2019 adalah pameran hartanah anjuran NSTP dengan kerjasama KPKT.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga rumah mampu milik di negara ini adalah di bawah RM300,000 dan paras itu dianggap sesuai dengan mengambil kira taraf ekonomi penduduk yang semakin meningkat.

Zuraida juga sebelum ini berkata, kediaman berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 adalah untuk golongan M40.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 5:21 PM