Badruddin (tengah) menunjukkan  cili hasil tanaman  pengusaha  pada lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Kuala Langat di Telok Panglima Garang.
Badruddin (tengah) menunjukkan cili hasil tanaman pengusaha pada lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Kuala Langat di Telok Panglima Garang.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Banting : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengimport bekalan bahan mentah bagi memastikan harga pasaran stabil berikutan fenomena El-Nino yang mungkin menjejaskan pengeluaran makanan tempatan.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan antara barangan diimport bagi memastikan permintaan bagi pasaran tempatan dapat ditampung.

“Kaedah ini digunakan buat sementara dan eksport dikurangkan apabila pengeluaran di dalam negara kembali stabil.

“Fenomena El-Nino mampu menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan. Kami bimbang, jika pengeluaran berkurangan manakala permintaan tinggi, ada pihak ambil kesempatan menjual barangan berkenaan pada harga lebih tinggi daripada ditetapkan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Kuala Langat di Telok Panglima Garang.

Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian akan memberi maklumat dan langkah boleh diambil petani bagi berdepan fenomena El-Nino bagi memastikan hasil pertanian tidak rosak akibat kenaikan suhu mendadak.

Pada masa sama, Badruddin berkata, setiap tahun, kerajaan dianggarkan membelanjakan RM17 bilion untuk mengimport hasil pertanian bagi menampung permintaan.

“Kerajaan memperuntukkan jumlah besar untuk mengimport hasil pertanian seperti sayuran dan buah-buahan. Jika petani tempatan dapat meningkatkan hasil tanaman masing-masing, nilai import dapat dikurangkan.

“FAMA melalui pejabatnya di setiap negeri akan memastikan hasil pertanian keluaran petani tempatan dapat dijual pada harga lantai yang lebih tinggi supaya mereka mampu memperoleh keuntungan walaupun harga pasaran jatuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:12 AM