Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Dr Ramle Kasin. - FOTO Azhar Ramli
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Dr Ramle Kasin. - FOTO Azhar Ramli
Sri Ayu Kartika Amri


Cheras: Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran RM8 bilion pendapatan eksport produk koko bagi tahun ini biarpun negara berdepan fenomena El-Nino.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Dr Ramle Kasin berkata, fenomena El-Nino yang melanda negara dilihat tidak memberi kesan signifikan terhadap industri koko secara keseluruhannya.

Katanya, sasaran pendapatan eksport koko tidak akan terjejas dan mampu dicapai termasuk sasaran bekalan biji koko pada tahun ini iaitu sebanyak 80 tan metrik.

"Jika El-Nino menyebabkan cuaca panas ekstrem sudah pasti ia akan menjejaskan pengeluaran koko tetapi tidak semua tempat di negara ini mengalami El-Nino.

"Selain bergantung dengan biji koko tempatan, kita juga import dari negara lain. Namun, berdasarkan perkembangan industri koko yang positif dan permintaan semakin meningkat, tiada masalah untuk negara mencapai sasaran RM8 bilion terbabit.

"Sektor pembuatan coklat salah satu penyumbang utama kepada sektor hiliran industri koko dan perolehan eksport koko pada 2022 meningkat sebanyak 13 peratus iaitu RM7.8 bilion berbanding RM6.8 bilion pada 2021," katanya pada sidang media di majlis pelancaran produk Coklat Benns di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching dan Pengarah Urusan Benns Chocolate Factory Sdn Bhd (Benns), Wilfred Ng.

Benns memulakan kerjasama dengan LKM melalui surat cadangan pada Januari 2023.

Antara cadangan yang dipersetujui adalah LKM melalui Koperasi Kluster Koko akan membekalkan kira-kira 90 metrik tan biji koko kering tempatan dengan kualiti gred SMC1 dan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) koko, coklat dan program pemasaran.

Ramle berkata, berikutan permintaan tinggi bekalan biji koko tempatan serta tawaran harga tinggi terhadap biji koko berkualiti, maka pekebun kecil koko diharap dapat terus mengusahakan tanaman koko serta meningkatkan hasil pengeluaran.

Beliau berkata, setakat ini, beberapa pengusaha 'chocolatier' coklat artisan tempatan mula meningkatkan penggunaan biji koko premium tempatan.

"Selain itu, beberapa syarikat antarabangsa juga turut berminat untuk mendapatkan biji koko premium Malaysia dan ini satu senario positif yang diharapkan menjadi pemangkin kepada peningkatan pengeluaran biji koko premium tempatan," katanya.

Sementara itu, Siti Aminah dalam ucapannya berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac 2023, perolehan eksport coklat juga meningkat sebanyak 30 peratus iaitu kepada RM387.7 juta berbanding RM297.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, bagi memastikan kilang pengisar koko tempatan terus beroperasi, bekalan biji koko perlu mencukupi dan pada masa kini lebih 90 peratus adalah biji koko yang diimport.

"Bagi meluaskan lagi tanaman koko dalam negara, LKM akan melaksanakan projek Tanaman Baharu 2023 dengan sasaran keluasan 200 hektar di seluruh negara, iaitu 100 hektar adalah di Sabah, 80 hektar di Sarawak dan 20 hektar di Semenanjung.

"Keluasan tanaman koko negara setakat ini adalah 5,985 hektar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 5:06 PM