AMINUDDIN (kanan) menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Asmizal. FOTO BERNAMA
AMINUDDIN (kanan) menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Asmizal. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan meluluskan sumbangan RM100,000 kepada Lembaga Pemasaran Pertanian (Fama) negeri sebagai modal pusingan bagi aktiviti pembelian hasil pengeluaran ladang daripada petani.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan itu bagi tujuan pembekalan barang makanan keperluan asas berupa hasil pertanian berasaskan sayuran dan buah-buahan kepada pengguna.

Katanya, pihaknya menyedari masyarakat peladang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan pembelian hasil tani menerusi Fama mampu melegakan mereka.

“Menerusi peruntukan ini, Fama akan membuat pembelian terus produk dari ladang dengan harga yang berpatutan dan pasar terus kepada pengguna.

“Ini akan dapat membantu menyelesaikan isu ketidakboleh pasaran hasil pengeluaran dalam tempoh PKP ini.

“Fama Negeri Sembilan menganggarkan akan dapat membantu lebih 300 pengeluar utama di negeri ini,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan buah-buahan oleh Fama kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Fama, Basri Jasmo dan Pengarah Fama negeri, Asmizal Jaafar.

Aminuddin berkata, Fama sudah mempunyai kaedah tersendiri dalam urusan pembelian produk itu termasuk penetapan tampungan harga.

Beliau berkata, selain itu, Fama akan melaksanakan operasi pembelian tebu telur yang dijangka tidak boleh dipasarkan menjelang Ramadan ini dengan membabitkan kawasan seluas lebih 40 hektar dan 37 pengeluar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 7:19 PM