GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Banjir dijangka berlaku di beberapa lokasi di Jeli dan Kuala Krai, sekiranya hujan lebat berpanjangan turun di lembangan Sungai Kelantan.

Menerusi kenyataan Pusat Ramalan Banjir dan Amaran Banjir Negara ( PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, amaran banjir itu dijangka bermula 12 tengah malam ini, sehingga pagi esok.

Katanya, susulan amaran cuaca waspada oleh Jabatan Meteorologi semalam dan sekiranya hujan lebat berpanjangan turun di lembangan Sungai Kelantan akan menyebabkan beberapa lokasi di dua daerah berkenaan banjir.

"Lokasi yang dijangka banjir di Kuala Krai bermula tengah malam ini adalah Kampung Dabong, Kampung Manek Urai, Kampung Mesek, Kampung Gajah dan kawasan sekitarnya.

"Di Jeli pula, ia membabitkan Kampung Lawar dan kawasan sekitarnya," katanya.

Selain itu katanya, beberapa lokasi di jajahan Kuala Krai turut dijangka mengalami banjir bermula pagi esok.

"Lokasi berkenaan adalah Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Taman Warisan, Kampung Pertang, Kampung Ngagoh, Kampung Pahi, Kampung Aur Duri.

"Kampung Guchil, Kampung Jirat, Kampung Gatal, Kampung Batu Mengkebang, Kampung Keroh, Kampung Batu Jong dan kawasan sekitarnya," katanya.

Sehubungan itu katanya, penduduk terutama di lokasi dijangka banjir diminta berwaspada.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai semalam sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 9:20 AM