NURUL Hanin bersama dua kucing yang dipelihara.
NURUL Hanin bersama dua kucing yang dipelihara.
Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Mempunyai penyakit lelah hingga kerap demam, situasi itu tidak menjadi halangan bagi seorang pencinta haiwan, Nurul Hanin Ismail, 26, membela kucing baka Persian, walaupun suatu ketika dulu dia sentiasa takut dan geli apabila haiwan comel itu menghampirinya.

Nurul Hanin berkata, perasaan takut terhadap kucing menimbulkan pelbagai insiden lucu bahkan hampir mengalami kemalangan namun tidak menyangka ia bertukar kepada sayang apabila terpaksa menjaga kucing kampung peliharaan ibunya yang diambil dari saudara mara.

Katanya, kasih ibunya, Mazni Shafie, 55, terhadap kucing bermula selepas berasa sunyi ketika berada di rumah memandangkan semua ahli keluarga keluar bekerja dan belajar hingga menyebabkan ibunya memerlukan teman mengisi masa terluang.

“Pada mulanya saya agak keberatan mempersetujui niat ibu yang mahu membela kucing kerana selain takut, saya dan ayah mempunyai masalah lelah dan kami sensitif terhadap habuk serta bulu.

“Namun, disebabkan ibu meluahkan perasaan sunyi itu membuatkan sayabersetuju dan ketakutan terhadap kucing hilang dan mula menyayangi haiwan itu dan tidak boleh berpisah,” katanya.

Nurul Hanin yang bekerja sebagai eksekutif pengurusan di sebuah syarikat swasta di Butterworth membantu menjaga kucing peliharaan ibunya hampir tiga tahun sebelum kucing itu mati.

“Selepas kucing itu mati, ibu mengalami kemurungan dan saya turut menghadapi masalah sama kerana terasa sunyi selepas kehilangan haiwan yang sudah dianggap sebahagian dari hidup kami.

“Perasaan sunyi itu diubati dengan kehadiran seekor kucing baka Persian yang dihadiahkan abang sempena ulang tahun kelahiran ibu hingga membuatkan saya teruja untuk memeliharanya,” katanya.

Beliau berkata, memelihara kucing sudah menjadi sebahagian hobinya apabila haiwan itu membuatkan kehidupannya sentiasa ceria dan menjadi ubat bagi menghilangkan tekanan selepas bekerja walaupun tahap kesihatannya tidak menentu.

“Walaupun tahu mempunyai penyakit lelah, saya tetap tidak boleh berenggang dengan haiwan ini yang menjadi penghibur selepas penat bekerja. Pada masa sama, ia tidak bermakna saya mengabaikan kesihatan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali menghampiri kucing.

“Minat kami memelihara kucing turut menyaksikan keluarga kami dianugerahkan beberapa rezeki tidak terjangka apabila memenangi hadiah menarik ketika menyertai pertandingan kucing di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 6:42 AM