ROHANI
ROHANI
LAPORAN Harian Metro 19 Disember lalu.
LAPORAN Harian Metro 19 Disember lalu.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Selangor: “Selaku Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), arwah rapat dengan pengurusan sekolah. Dia sering memberi idea penambahbaikan bagi keselesaan warga sekolah dan pelajar. Kehilangannya pasti dirasai,” kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Rohani Mohd Noor.

Menurutnya, arwah Abdul Halim Samian, 44, yang terkorban akibat lemas bersama isteri dan tiga anaknya di Taman Rekreasi Belukar Bukit, Kuala Berang, Terengganu, Sabtu lalu, mempunyai keperibadian mengkagumkan.

Rohani berkata, arwah yang memegang jawatan itu sejak empat tahun lalu sepatutnya memulakan pembinaan bumbung di kawasan perhimpunan sekolah minggu ini selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri.

“Pembinaan kawasan perhimpunan berbumbung itu dicadangkan Allahyarham yang prihatin selepas melihat pelajar kurang selesa ketika majlis perhimpunan di lokasi terbuka.

“Kali terakhir kami bertemu dua minggu lalu bagi membincangkan projek pembinaan bumbung di tapak perhimpunan itu. Sepatutnya kerja pembinaan tapak asas untuk tiang bumbung itu bermula minggu ini,” katanya.

Menurutnya, arwah Abdul Halim dan PIBG rapat dengan guru di sekolah itu dan banyak menyumbang tenaga untuk kebaikan pelajar.

Tambahnya, anak sulung mangsa, Nurul Arifah, 16, juga pelajar yang cemerlang di sekolah berkenaan.

Rohani berkata, pihaknya merancang mengadakan tahlil untuk mangsa sekeluarga sebaik sesi persekolah bermula awal bulan depan.

“Ramai pelajar mengenali Abdul Halim kerana dia sering terbabit dalam aktiviti dianjurkan sekolah, selain sering mengetuai bacaan Yassin setiap minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 9:24 AM