KELUARGA mangsa   tragedi lemas  dikebumi dalam satu liang di tanah perkuburan Pengkalan Arang Kuala Nerus, malam kelmarin.
KELUARGA mangsa tragedi lemas dikebumi dalam satu liang di tanah perkuburan Pengkalan Arang Kuala Nerus, malam kelmarin.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Kuala Selangor: “Walaupun tidak sempat menatap wajah arwah, namun kami bersyukur kerana dapat menziarahi kubur arwah dan menemui keluarga arwah, terutama Hasif (Mohd Hasif),” kata bilal Surau Al-Furqan Puncak Alam Fasa Dua, Izalwan Mukhtar, 44.

Izalwan berkata, dia bersama 40 penduduk Puncak Alam Fasa Dua bertolak dari surau itu menaiki bas jam 11 malam kelmarin dan tiba di masjid Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam, Kuala Terengganu, pada jam 5.30 pagi semalam.

Menurutnya, mereka turut mengadakan tahlil di kubur arwah sekeluarga sebelum ke rumah keluarga isteri arwah di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal.

Begitupun, katanya, ketika menemui Mohd Hasif, anak bongsu arwah Abdul Halim Samian, 44 dan Nurul ‘Adilah @ Salaiwati Awang, 39, kanak-kanak itu tidak banyak berkata-kata sebaliknya lebih banyak mengangguk dan kelihatan sugul.

“Hasif trauma dan terkejut dengan kejadian berlaku ke atas ibu bapa serta tiga kakaknya dan kami memahami keadaannya ketika ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin Abdul Halim bersama Nurul ‘Adilah dan tiga anak mereka, Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10, lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang.

Arwah Abdul Halim adalah Ketua Imam Surau Al-Furqan Puncak Alam Fasa Dua selain menjadi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam. Izalwan berkata, ketika menerima berita menyedihkan itu jemaah surau berkenaan mengadakan tahlil dan bacaan Yasin, malah sebelum bertolak ke Terengganu malam kelmarin, mereka turut berbuat demikian.

“Jika diikutkan memang ramai hendak ziarah arwah di Terengganu, namun kami mampu menyewa sebuah bas saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 8:29 AM