GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Guru perlu mempertingkatkan kemahiran mengajar apabila sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata, pengalaman dalam sesi PdPR sebelum ini membolehkan guru mengajar dengan kaedah lebih baik untuk menarik perhatian pelajar.

Katanya, guru juga perlu bersedia untuk memastikan kaedah pengajaran yang lebih efektif memandangkan murid tepaksa menukar mod pembelajaran dengan mendadak.

"Sebelum ini sudah mula PdPR tetapi tidak lama selepas itu sesi persekolah diteruskan semula. Kini sesi PdPR kembali dilaksanakan menyebabkan murid perlu menyesuaikan diri kembali dalam tempoh singkat," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dalam masa sama kerajaan diminta mempercepatkan agihan bantuan peranti kepada pelajar golong B40.

Menurutnya, kemudahan itu kelak membolehkan pelajar kurang berkemampuan menjalani sesi PdPR dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Kerajaan perlu percepatkan pemberian peranti kerana masih ramai pelajar yang terpaksa berkongsi dengan adik beradik lain dan ini boleh mengganggu tumpuan mereka ketika PdPR dilaksanakan," katanya.

Kluster pendidikan menyebabkan banyak sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup untuk sementara waktu bagi mengekang Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 4:22 PM