WARTAWAN menunggu di  luar kawasan bangunan Parlimen selepas dihalang daripada memasuki bangunan Parlimen.
WARTAWAN menunggu di luar kawasan bangunan Parlimen selepas dihalang daripada memasuki bangunan Parlimen.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memutuskan akan memanggil Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan bekas pengerusi, Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberi keterangan kepada jawatankuasa itu pada 19 dan 20 Januari depan.

Ahli PAC Tony Pua berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PAC semalam selepas Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy selesai memberi penjelasannya mengenai urus tadbir syarikat itu.

“Ada ahli minta supaya dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrul Azral Ibrahim dan Mohd Hazem Abdul Rahman turut dipanggil, namun pengerusi belum membuat keputusan sama ada akan memanggil atau tidak kedua-dua individu terbabit dan tarikhnya,” katanya ditemui di pintu masuk Parlimen, semalam.

Pada 1 Disember lalu, Arul Kanda hadir buat kali pertama bagi memberi penjelasan mengenai syarikat itu di hadapan Pengerusi PAC yang baru iaitu Datuk Hasan Arifin.

“Arul Kanda sudah habis beri keterangan. Semua soalan yang perlu ditanya, sudah ditanya dan ada yang beliau jawab dan ada yang cuba dielak. Itu hak dia.

“Yang penting banyak perkara yang berlaku sebelum beliau menjadi CEO. Kebanyakan hari ini (semalam), penjelasan mengenai rancangan akan datang.

“Saya secara peribadi berpendapat jawapan diberikan tidak sempurna dan akan dirunding dalam PAC,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut melahirkan kekesalannya berikutan pihak media daripada pelbagai agensi dilarang memasuki bangunan Parlimen untuk membuat liputan mesyuarat PAC.

“Saya berasa kesal kerana wartawan kena tunggu di luar pagar Parlimen. Ini kali pertama dalam sejarah mesyuarat PAC.

“Sebenarnya, sebagai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kita tidak ada apa perlu dihalang atau dihadkan kepada pihak media,” katanya memaklumkan tidak boleh mendedahkan sebarang kandungan mesyuarat itu.

Sementara itu, Tony berkata, ahli PAC dimaklumkan laporan akhir Ketua Audit Negara belum siap kerana masih ada dokumen berkaitan tidak diserahkan 1MDB.

“Kami diberitahu mereka (Ketua Audit Negara) baru saja menerima beberapa dokumen baharu daripada 1MDB dan ada dokumen lain dijanjikan. Oleh sebab itu laporan akhir Ketua Audit Negara kepada PAC masih belum siap dan dijangka siap pada Februari 2016,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli PAC iaitu William Leong Jee Keen yang juga Ahli Parlimen Selayang turut mengesahkan keputusan PAC memanggil saksi terbabit bagi memberi keterangan untuk melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 7:05 AM