Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum bercadang memanggil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menjawab persoalan pelaburan dan operasi syarikat itu kerana prestasi kewangannya sudah diaudit firma antarabangsa terkemuka.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bagaimanapun pihaknya menyambut baik jika Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB yang baharu, Arul Kanda Kandasamy mahu hadir secara sukarela bagi memberikan penjelasan di hadapan PAC.

“Kami tidak akan memanggil 1MDB, bagaimanapun jika Arul Kanda mahu hadir sukarela bagi memberikan penjelasan di hadapan PAC...ia sesuatu yang amat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini, PAC berpendapat kedudukan kewangan 1MDB belum berdepan masalah memandangkan ia sudah diaudit firma audit antarabangsa, dan belum ada bukti kukuh syarikat berkenaan menghadapi sebarang masalah.

1MDB, syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia pada 13 Januari lepas memaklumkan menebus semula sepenuhnya AS$2.318 bilion dilaburkan syarikat itu dalam dana berdaftar di Kepulauan Cayman.

Arul Kanda dalam kenyataannya berkata, dana itu pembayaran semula pinjaman disediakan kepada PetroSaudi pada 2011 dalam bentuk nota-nota Murabaha susulan penamatan perjanjian sebelum ini yang dimeterai untuk menjalin usaha sama dengan syarikat itu.

Nota-nota berkenaan yang dibayar sepenuhnya dan faedah, dilaburkan dalam dana dikawal selia Pihak Berkuasa Monetari Cayman.

Sebelum ini, 1MDB menebus AS$1.215 bilion yang mewakili 60 peratus dana yang dilabur dan kini menebus tambahan AS$1.103 bilion membabitkan baki daripada AS$2.318 bilion yang dilaburkan pada asalnya.

Nur Jazlan berkata PAC belum berpeluang membincangkan isu 1MDB secara rasmi dalam mesyuaratnya dan belum bercadang memanggil syarikat berkenaan memberikan penjelasan.

Beliau juga berkata, isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan 1MDB adalah dua perkara berbeza kerana klia2 adalah berkaitan dengan kenaikan kos, pertukaran reka bentuk, kelewatan dan kualiti pembinaan serta pemilihan kontraktor.

“PAC sudah memanggil Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kerana syarikat itu adalah pengurus projek klia2 bagi menjelaskan perkara itu dan PAC tidak menyiasat mengenai kewangan MAHB yang diaudit firma audit terkemuka antarabangsa.

“Orang ramai perlu faham dua isu ini dengan jelas, PAC tidak menyiasat MAHB sebaliknya hanya projek klia2. Dalam konteks 1MDB kita tidak bercadang memanggil mereka kerana kewangan syarikat ini sudah diaudit, jadi jangan timbul lagi sebarang kekeliruan lagi selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:20 AM