ANTARA kenderaan yang menjadi mangsa perbuatan khianat.
ANTARA kenderaan yang menjadi mangsa perbuatan khianat.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat menyembur cat beberapa kenderaan milik penduduk perumahan di kawasan Jelapang dan Chemor, di sini kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 1 pagi dan 4 pagi itu, beberapa kenderaan penduduk di Taman Halaman Meru Permai, Taman Meru Impian dan beberapa kawasan di Chemor, dekat sini, disembur cat berwarna hijau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menerima tujuh laporan polis daripada pemilik kenderaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Polis mengesahkan kejadian khianat terhadap beberapa kenderaan penduduk taman perumahan di Jelapang dan Chemor, di sini, yang disembur cat dan mula tersebar di media sosial sejak semalam (kelmarin).

“Kami menerima tujuh laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis percayai perbuatan khianat itu dilakukan seorang lelaki menaiki motosikal dan menyembur cat pada kenderaan penduduk diletakkan di bahu jalan di kawasan perumahan.

“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan maklumat awam amat diperlukan bagi membantu siasatan dengan menyalurkannya melalui SMS Rakan Cop atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di 05-254 1222.

“Orang ramai diminta berhati-hati dan menghubungi balai polis berhampiran sekiranya mengalami masalah itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Meru Impian yang enggan dikenali ketika dihubungi berkata, boleh dikatakan semua kereta yang diparkir di bahu jalan di kawasan perumahan disembur dengan cat.

“Penduduk kecoh apabila mendapati beberapa kenderaan di kawasan perumahan kami disembur cat hijau awal pagi semalam (kelmarin) dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran saya menunjukkan seorang lelaki menaiki motosikal yang bertanggungjawab melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:46 AM