Ahmad Shabery merasmikan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2016 di hotel di Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Khairul Azri Bidin
Ahmad Shabery merasmikan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2016 di hotel di Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Khairul Azri Bidin
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Pengeluar makanan negara perlu memperkasa diri dengan asas perjuangan dan program yang dapat menggerakkan sektor agro makanan negara sehingga dapat 'menakluki' negara lain di dunia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dua organisasi terbesar negara iaitu Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memainkan peranan besar ke arah merealisasikan usaha itu.

"Untuk dua organisasi ini sahaja mereka ada jutaan ahli dan perlu memikirkan bagaimana untuk jadikan misi sebagai sebuah negara agro makanan yang cukup untuk rakyat.

"Apabila program dan ideologi ini sudah diperkasa maka tidak mustahil kita juga boleh 'takluki' negara lain dari segi bekalan makanan apabila pengeluaran yang banyak sehingga ianya boleh dieksport," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayam Kebangsaan 2016 di Hotel Nouvelle, di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi NEKMAT Ahmad Rudin Hussain dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (NAFAS) Datuk Seri Saipolbahri Suib.

Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata, konvensyen tiga hari itu bermula hari ini dan berakhir Ahad ini tidak seharusnya terhad kepada perbincangan dan perkongsian kaedah semata-mata.

"Lebih daripada itu, dua organisasi ini perlu memastikan bagaimana peladang, penternak dan nelayan ini mencetuskan suatu pergerakkan yang boleh menggerakkan rakyat.

"Pergerakkan ini bukan sahaja dalam kalangan mereka sebagai usahawan, malah menjadikan anak-anak muda bersama dalam perjuangan industri agro makanan ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 11:06 PM