MOHD Shamsul menyusun pakaian agar pelanggannya mudah membuat pilihan.
MOHD Shamsul menyusun pakaian agar pelanggannya mudah membuat pilihan.
Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Ia bukan keluaran baru dari kilang, sebaliknya dipakai beberapa pemilik, namun pakaian terpakai atau lebih dikenali bundle tetap diburu peminatnya terutama daripada jenama sukar diperoleh.

Malah, jangan terkejut sekiranya ada antara pakaian berkenaan sama ada baju, jaket mahupun seluar dijual pada harga tinggi mengalahkan keluaran baru kerana nilai dan keunikannya.

Di Kelantan, perniagaan menjual produk bundle semakin berkembang dan tumbuh bagai cendawan. Namun, kelainan yang terdapat di Messo Bundle menyebabkan kedainya menjadi tumpuan penggemar pakaian bundle daripada segenap lapisan umur.

Pemiliknya, Mohd Shamsul Abd Wahid, 38, semua stok pakaian bundle diperoleh dari Pelabuhan Klang dan Bangkok, Thailand kerana mempunyai kualiti yang baik.

Katanya, sejak kedainya dibuka awal tahun ini, ia mempunyai pelanggan tetap yang rata-ratanya terdiri daripada mereka yang datang dari Terengganu dan Pahang.

“Kebanyakan mereka mencari pakaian bundle terutama yang dikeluarkan sekitar tahun 50-an hingga 80-an, kerana pakaian pada era berkenaan mempunyai nilai vintage dan sukar diperoleh (rare).

“Tidak dinafikan, penggemar dan peminat pakaian bundle sanggup berhabis ribuan ringgit untuk memilikinya demi kepuasan diri,” katanya ditemui di kedainya di Kampung Huda di sini.

Menurut Shamsul, untuk menambahkan pengetahuannya mengenai pakaian bundle, dia mempunyai beberapa buku rujukan yang dibeli dari Jepun.

“Kebiasaannya, pencinta bundle tahu menilai barangan berkualiti dan berharga, jika pakaian itu mempunyai nilai tersendiri, maka tidak hairanlah pakaian itu menjadi rebutan.

“Biasanya orang menganggap pakaian bundle dijual dengan harga murah, tetapi bagi koleksi tertentu yang terhad, ia mempunyai harga lebih mahal. Sebab itulah penggemarnya sanggup berbelanja besar untuk mendapatkannya,” katanya.

Katanya, perniagaan bundlenya turut dijual secara atas talian dan mendapat sambutan daripada penggemar dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Antara pelanggan tetap Messo Bundle adalah pasangan adik beradik, Muhammad Hazwan Zaidi, 22, dan Muhamad Huzaifi Zaidi, 17.

Muhammad Hazwan berkata, kerana minatnya terhadap bundle begitu mendalam, dia pasti akan singgah di setiap kedai bundle yang ditemuinya.

“Bagi saya, kedai Messo Bundle dianggap syurga pakaian bundle kerana mempunyai pelbagai koleksi pakaian vintage.

“Sehingga kini saya membelanjakan hampir RM2,000 untuk membeli barangan bundle seperti baju, seluar, bag dan kasut dan ada antara pakaian dibeli dijadikan koleksi kerana mempunyai nilai yang tinggi dan sukar diperoleh sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 7:03 AM