AHMAD Allay Azran menunjukkan kasut jenama Aliph yang dijual di gerainya.
AHMAD Allay Azran menunjukkan kasut jenama Aliph yang dijual di gerainya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kasut jenama buatan tempatan, Aliph begitu popular pada era 1980-an. Boleh dikatakan popularitinya setanding jenama kasut terkenal seperti Adidas dan Nike pada masa ini.

Namun, entah di mana silapnya jenama yang pernah menjadi lambang kegemilangan rock kapak itu hanya mampu bertahan hingga awal 1990-an sebelum menghentikan pengeluarannya.

Lantaran itu, jenama berkenaan kian terkubur dan dilupakan, malah ramai generasi muda pula tidak mengetahui kewujudannya.

Sebaliknya, bagi penggemar barangan vintaj pasti ‘memburu’ barangan itu kerana ia dikategorikan sebagai barangan jarang jumpa dan mempunyai nilai tersendiri.

Bagi penjual barangan terpakai dan vintaj, Ahmad Allay Azran Abdul Rahim, 32, berkata, dia memiliki 15 pasang kasut berkenaan yang dibeli di beberapa gedung menjual barangan terpakai di negara ini.

SALAH satu kasut tertera nama kumpulan Search yang pernah dilantik sebagai duta jenama produk berkenaan.
SALAH satu kasut tertera nama kumpulan Search yang pernah dilantik sebagai duta jenama produk berkenaan.

“Sebahagian daripada kasut ini saya beli untuk dijual sementara sebahagian lagi untuk koleksi peribadi.

“Kasut ini masih dalam keadaan baik dan tidak pernah digunakan pemilik asal,” katanya di Festival Pakaian Bundle dan Vintage di Setor Gombak, Jalan Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Festival yang berlangsung tiga hari itu disertai 40 peniaga termasuk peniaga muda sebagai galakan menceburi perniagaan terbabit secara lebih serius.

Tambahnya, kasut itu menjadi pilihan beberapa kumpulan rock popular tanah air satu masa dulu seperti Lefthanded, Search dan SYJ yang dilantik sebagai duta jenama produk berkenaan.

Katanya, pernah ada pembeli ingin membeli satu daripada koleksinya dengan RM1,800 sepasang, tetapi dia tidak menjualnya kerana harga itu agak rendah dan tidak setanding dengan nilai kecantikannya.

Sementara itu, penganjur program Mohd Fairuz Mohyi berkata, salah satu tujuan program berkenaan diadakan kerana mahu menghidupkan semula Setor Gombak yang sebelum ini menjadi stor terbiar.

MOHD Fairuz
MOHD Fairuz

“Setor Gombak ini dilancarkan secara rasmi pada bulan lalu dan mengadakan beberapa program bagi memperkenalkan kepada orang ramai.

“Alhamdulillah dengan adanya program ini (Festival Pakaian Bundle dan Vintage) tempat ini semakin dikenali,” katanya.

Katanya, dia menggalakkan belia untuk cuba menceburi perniagaan itu kerana ia satu peluang perniagaan yang mempunyai masa depan kerana ramai menggemari barangan terpakai selain sentiasa menjadi buruan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:53 AM