ABDULLAH Ri’ayatuddin berkenan menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Marmara. FOTO Bernama
ABDULLAH Ri’ayatuddin berkenan menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Marmara. FOTO Bernama
BERNAMA

Istanbul: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Marmara sebagai mengiktiraf sumbangan baginda dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Ijazah Kedoktoran Kehormat itu disampaikan oleh Rektor Universiti Marmara Profesor Dr Mustafa Kurt berdasarkan sumbangan Seri Paduka dalam memelihara keamanan sejagat serta memperkukuh hubungan Turkiye dan Malaysia dalam satu majlis di universiti berkenaan di sini.

Seri Paduka dipersembah dengan persalinan jubah kedoktoran baldu merah bersulam emas berserta sijil dan sebuah plak.

Turut mengiringi baginda menerima penganugerahan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay.

Turut hadir, Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Universiti Marmara adalah universiti di mana Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menerima ijazah pada 1981.

Semasa berkenan menerima skrol itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada universiti berkenaan dan berbesar hati dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat itu.

Yang di-Pertuan Agong bertitah ijazah kedoktoran kehormat itu bukan sahaja begitu bermakna buat diri baginda tetapi juga penghormatan tertinggi yang diberikan kepada Malaysia dan rakyatnya.

"Ia cerminan tahap pengiktirafan dan penghormatan bersama tertinggi antara kedua-dua negara kita yang sememangnya bersaudara," titah baginda.

Sebagai negara Islam yang moden serta progresif, Yang di-Pertuan Agong bertitah Malaysia dan Turkiye boleh memupuk kerjasama lebih kukuh dalam bidang pendidikan.

Al-Sultan Abdullah percaya inisiatif sedemikian boleh menjadi pemangkin kepada umat Islam yang bersatu dan lebih kuat.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang mengadakan Lawatan Negara tujuh hari ke Turkiye yang bermula Isnin lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 8:24 AM