SULTANAH Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol kepada graduan pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di Dewan Sultan Mizan.FOTO Faizul Azlan Razak
SULTANAH Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol kepada graduan pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di Dewan Sultan Mizan.FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Sejumlah RM1 juta diperuntukkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk bantuan zakat kepada penuntutnya sepanjang tahun ini.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, peruntukan itu membabitkan 1,582 penuntut asnaf yang mengikuti pengajian di universiti ini.

Selain itu, katanya, seramai 500 penuntut baru dalam kalangan asnaf menerima Dermasiswa Al-Ikhlad berjumlah RM250,000.

"UMT sentiasa komited untuk meningkatkan kesejahteraan penuntut dengan membantu mereka melalui bantuan zakat.

"Selain itu, UMT juga akan memperkenalkan program AsnafPro iaitu pembiayaan penuh biasiswa zakat UMT kepada penuntut terpilih," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 disempurnakan Sultanah Terengganu merangkap Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah di Dewan Sultan Mizan di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat pada majlis itu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mazlan berkata, pada majlis itu seramai 1,592 orang graduan menerima ijazah masing-masing.

"Daripada jumlah itu, 33 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 129 penerima Ijazah Sarjana, 1,297 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 133 penerima diploma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:57 PM