NOOR Faziha (kiri)  bersama adiknya.
NOOR Faziha (kiri) bersama adiknya.

Bagan Datoh: “Saya tidak mahu berpisah dengan adik saya dan biar saya berkorban mencari wang untuk mereka meneruskan persekolahan dan melihat kejayaan mereka satu hari nanti,” katanya Noor Faziha Zulkifli, 24.

Noor Faziha anak sulung daripada enam beradik yatim piatu yang terpaksa menumpang kasih kepada nenek mereka, Ammsah Abdullah, 86, dan saudara- mara di Kampung Pasang Api, di sini, selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.

Bapa mereka, Zulkifli Abdul Aziz, 52, meninggal dunia pada 2013 disebabkan sakit buah pinggang, manakala ibu mereka, Faridah Ahmad Zaini, 44, meninggal dunia seminggu lalu, akibat sakit jantung, pada 8 Oktober lalu.

Selain Noor Faziha, lima lagi adiknya, Mohammad Syafiq, 23, Noor Syafiqah, 18, termasuk tiga lagi yang masih bersekolah Noor Asyikin,15, Nur Shawani, 12, dan Nur lzzatul Aisnah, 7, pasrah dengan apa yang menimpa keluarga mereka.

Menurut Noor Faziha walaupun terpaksa menerima hakikat menjadi yatim piatu pada usia muda, namun itu tidak melunturkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Arwah ibu dan bapa sentiasa berpesan kepada kami adik-beradik supaya pandai menjaga diri tidak kira di mana berada. Malah, arwah juga mahu kami mengutamakan pelajaran supaya dapat menjadi insan yang berjaya satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 9:29 AM