WAN Hasni menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada Nooramiliyana di Taman Matahari Indah Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
WAN Hasni menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada Nooramiliyana di Taman Matahari Indah Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

KEBAJIKAN lapan beradik yatim piatu berusia setahun sembilan bulan hingga 18 tahun akan terus dibela.

Itu janji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

“Nasib dan masa depan anak-anak ini tidak akan diabaikan. Bantuan sewajarnya akan diberikan sehingga mereka dapat belajar ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Itu jaminan diberikan Mohamad Taufek terhadap lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas bapa mereka, Amran Isa, 39, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) petang Khamis lalu, akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan buah pinggang.

Terdahulu, isteri Amran, Zalifah Wahab, 36, meninggal dunia di hospital sama akibat masalah usus, pada Ogos 2018.

Lapan beradik itu ialah Nooramiliyana, 18, Muhammad Amirul Aiman, 16, Muhammad Amar, 15, Nooramiera Natasha, 12, Nooramiezatul Sofea, 9, Noor Zalisha Qaisara, 6, Muhammad Amsyar, 3, dan Noor Zalisha Husna, setahun sembilan bulan.

Mohamad Taufek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri berkata, kepentingan lapan beradik itu akan diberikan perhatian serius oleh pihaknya.

“Dua daripada mereka masing-masing akan menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tahun 3 (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Pelajaran mereka akan saya berikan perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program menyantuni dan penyampaian bantuan kepada lapan beradik berkenaan di rumah bapa saudara mereka, Rasit Isa, 30, di Taman Matahari Indah Senawang di Seremban, hari ini.

Hadir sama isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Mohamad Hapil dan pegawai Baitulmal Negeri Sembilan.

Pada majlis itu, pejabat Menteri Besar, JKM dan Baitulmal menyampaikan bantuan kewangan masing-masing kepada keluarga terbabit.

NOORAMILIYANA bersama adik-beradiknya yang kini terpaksa menumpang kasih dengan bapa saudara. FOTO Mohd Amin Jalil
NOORAMILIYANA bersama adik-beradiknya yang kini terpaksa menumpang kasih dengan bapa saudara. FOTO Mohd Amin Jalil

Sebelum ini, Harian Metro menyiarkan kisah lapan beradik yang kehilangan tempat bergantung selepas kematian bapa, Khamis lalu.

Wan Hasni pula menggesa pelbagai pihak untuk membantu lapan beradik berkenaan.

Wan Hasni yang juga Yang Dipertua Badan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan, Wakil Rakyat dan Ketua Jabatan Wanita Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah) berkata, pihaknya akan terus membantu adik beradik berkenaan.

“Saya saksikan sendiri hidup mereka dan Bakriyah akan membantu adik beradik ini.

“Saya fikir, kerajaan negeri menerusi EXCO berkaitan dan wakil rakyat kawasan akan terus mengikuti perkembangan keluarga ini. Bantuan daripada pihak lain juga dialu-alukan,” katanya.

Nicole pula memaklumkan, keluarga berkenaan mula menerima bantuan JKM sebanyak RM450 sebulan sejak Jun 2019.

Menurutnya, bantuan itu akan diteruskan namun JKM sedang menunggu proses mengenal pasti penjaga baharu adik beradik berkenaan.

“Bantuan bulanan ini akan terus berjalan walaupun mereka berpindah ke tempat lain yang mana ia akan dimaklumkan kepada JKM terdekat,” katanya.

Pada masa sama, Nooramiliyana mengulangi pendiriannya untuk tidak mahu berpisah dengan adik beradiknya kerana perkara itu antara pesanan arwah bapa kepadanya ketika hayat.

“Kami masih terkejut dengan pemergian arwah ayah dalam tempoh singkat. Ayah pesan supaya jaga adik elok-elok.

“Saya akan berpegang teguh kepada pesanan (arwah) itu. Buat masa ini saya belum buat keputusan lagi hendak tinggal di mana kerana masih berbincang,” katanya.

Sementara itu, Rasit berkata, dia akan menjaga kesemua anak saudaranya itu jika Nooramiliyana membuat keputusan untuk kekal tinggal bersama keluarganya.

“Arwah ketika sakit pun ada bagi amanah kepada saya untuk jaga anak-anak dia,” katanya.

Berita berkaitan

Lapan beradik yatim piatu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 4:51 PM