Orang panggil dia Janggut. Tapi nama sebenarnya Saddiq Islam. Dia tukang pembersih di kawasan perumahan saya. Berkelulusan ijazah namun kekangan hidup di Bangladesh mendorongnya merantau mencari rezeki di Malaysia.
Dulu bahasa Melayu/Malaysia Janggut tersekat-sekat macam lif di projek perumahan rakyat. Telor dan sukar difahami.
Perbendaharaan kata Janggut boleh dibilang dengan jari. Ungkapan ini yang sering di lontar Janggut setiap kali kami bersua: "Abang sudah makan?"
Tapi kini selepas dua tahun beransur, bahasa Melayu/ Malaysia Janggut agak lancar - selancar kenaikan harga barang keperluan asas yang tidak terbendung. Saya kagum.
Apabila saya bertandang ke bilik penginapan Janggut yang dikongsi bersama dua rakannya, saya jumpa banyak buku termasuk bacaan kanak-kanak dan majalah bahasa Melayu/ Malaysia yang lama.
"Buku-buku ini saya ambil bang. Orang buang. Saya ambil dan baca. Cakap Melayu senang bang. Saya sekarang boleh tulis dan baca bahasa Melayu sikit-sikit," katanya dengan mulut yang agak kemerahan - diwarnakan sirih dan pinang yang menjadi penyedap Saddiq setiap kali makan malam.
Susah ke belajar bahasa Melayu/Malaysia? Tempoh hari, saya menaiki sebuah kenderaan e-hailing dari pusat bandar Kuala Lumpur menuju ke rumah saya yang terletak di pinggir ibu kota. Pemandunya rakyat Malaysia lingkungan 40-an.
Tapi masalahnya kami sukar berkomunikasi. Dia faham bahasa Melayu/Malaysia, tetapi butiran pertuturannya sukar dicerna. Pelat. Ketika berbual, dia terpaksa berfikir sejenak mencari perkataan yang betul untuk melengkapkan ayatnya. Tapi saya masih tak mengerti.
Saya cuba berbahasa Inggeris namun bahasa itu turut tidak meluncur mudah di lidah pemandu berkenaan yang sememangnya peramah.
Antara faham dan tidak, sepanjang perjalanan, saya hanya mengiyakan butiran perbualan dengan pemandu itu yang kebanyakannya berkisar mengenai politik negara.
Susah ke belajar bahasa Melayu/Malaysia? Enam puluh enam tahun negara merdeka, memang satu tragedi masih ada rakyat Malaysia tidak fasih berbahasa Melayu/Malaysia terutamanya kalangan generasi muda. Saya bukan fanatik bahasa. Malah, saya sama bangga dengan bahasa ibunda saya, bahasa Tamil - salah satu bahasa klasik paling tertua di dunia. Saya memahiri Bahasa Tamil dengan belajar sendiri di rumah berikutan saya menuntut di sekolah kebangsaan.
Selang beberapa hari selepas perjumpaan dengan pemandu pertama itu, saya bertemu dengan seorang pemandu lain - seorang lelaki dalam usia 50-an.
Di tengah perjalanan, saya menegur pemandu itu yang kelihatan resah mengemudi kenderaan dalam trafik lewat petang yang merimaskan.
"Saya dah masak dengan trafik sesak di KL. Encik jangan bimbang," ujarnya dalam bahasa Melayu yang cukup fasih.
"Saya lahir di Kota Bharu dan menetap di sana 30 tahun. Cakap Melayu saya selancar bahasa ibunda saya," katanya yang berhijrah atas faktor ekonomi.
Anak jati ibu negeri Cik Siti Wan Kembang itu mengingatkan saya kepada lebih 277 juta umat Indonesia yang fasih berbahasa kebangsaan negara itu meskipun setiap kabupaten atau wilayah di Indonesia memiliki bahasa mereka sendiri.
Mendiang bapa saya hanya mahir berbahasa Tamil meskipun pada hujung usianya mendiang ada membeli kamus Tamil-Melayu untuk menggilap kebolehannya berbahasa. Ibu saya tidak celik huruf namun boleh berbahasa Melayu meskipun tuturya bertatih. Mereka generasi lama Malaya.
Saya pula generasi yang diasuh oleh bahasa Melayu/Bahasa Malaysia. Novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman sentuhan Anwar Ridhwan serta Hujan Pagi tulisan A Samad Said menjadi santapan minda. Sanubari pula terusik dengan sajak Pak Utih dan Salam Benua himpunan kata-kata Usman Awang. Puisi Sajak Buat Pencuri Kasutku ciptaan Zaen Kasturi mengundang pengamatan kritis. Majalah Gila-Gila, Batu Api dan Geli Hati menjadi makalah menambah kosa kata.
Saya suka bahasa Melayu/Malaysia mudah tanpa terlalu dicemari kata-kata bahasa asing seperti dalam filem Seniman Agung Tan Sri P Ramlee. Saya terpesona dengan kebolehan negarawan Singapura, Lee Kwan Yew berbahasa Melayu dengan pilihan kata-kata bahasa Melayu/Malaysia yang klasik. Saya rindu kepetahan juruhebah Preimah bermain dengan kata-kata bahasa Melayu/Malaysia di corong radio. Susah ke belajar bahasa Melayu/Malaysia? Saya masih menanti dengan penuh harapan untuk melihat satu hari nanti wakil rakyat kita berhujah dan berdebat dengan menggunakan bahasa Melayu berkualiti tinggi di Parlimen, sekali gus memperlihat keindahan dan keintelektualan bahasa itu sendiri yang dipertuturkan oleh 290 juta orang, khasnya di Nusantara. Biar ia menjadi cerminan untuk dituruti umum.
Bahasa Melayu/Malaysia dikhabarkan memiliki lebih 120,000 patah perkataan. Dalam banyak-banyak perkataan ini ada satu perkataan yang paling saya suka: terima kasih. Anda sudah berbudi pada saya, maka terimalah kasih saya. Bukankah perkataan ini unik? Jadi, terima kasih jika anda memilih untuk mendaulatkan bahasa Melayu/Malaysia.
Ketika tulisan ini disatukan, Janggut sudah pulang ke Bangladesh selama empat bulan. Bagi Janggut, bahasa Melayu/Malaysia menjadi senjata untuk survivalnya di Malaysia. Bagi kita bahasa Melayu/Malaysia adalah bahasa kebangsaan yang menyatukan kita selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.
Jadi yang mana satu panggilan tepat: bahasa Melayu atau Malaysia? Ibu, emak, mama dan umi empat perkataan berbeza namun kasih ibu tetap sama. Panggillah Bahasa Melayu ataupun Bahasa Malaysia, manisnya tetap sama. Lebih mustahak, daulatkan bahasa kebangsaan kita!
Penulis wartawan Harian Metro