DR Sahol Hamid (empat dari kanan) dan bekas pelajar Sekolah Rendah PMS melihat buku pendaftaran 1959.
DR Sahol Hamid (empat dari kanan) dan bekas pelajar Sekolah Rendah PMS melihat buku pendaftaran 1959.

Georgetown: Kerajaan disaran mewujudkan sesi pembelajaran ‘mesra kaum’ di sekolah dengan menggabungkan semua bangsa bagi mengukuhkan perpaduan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, perpaduan kaum elemen penting menjamin pembangunan negara.

Beliau berkata, cadangan itu diutarakan pihaknya kepada kerajaan dan berharap ia mendapat pertimbangan demi masa depan negara.

Katanya, sekolah yang menggabungkan semua bangsa adalah penting untuk mendidik jiwa masyarakat mengenai perpaduan bermula dari usia persekolahan lagi.

“Sama seperti apa yang saya lalui pada zaman persekolahan, kami bergaul dengan rakan berlainan bangsa seperti adik dan abang. Malah, tidak pernah wujud isu perkauman biarpun saya satu-satunya pelajar Melayu.

“Persekitaran sekolah pelbagai bangsa memberi kelebihan kepada saya mempelajari bahasa Cina dan Tamil daripada rakan sekelas,” katanya yang ditemui pada pertemuan semula 25 pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Pykett Methodist, Lorong Pykett (PMS) di sini, semalam.

Bekas pelajar sekolah itu dari sesi persekolahan tahun 1959 berkumpul pada sesi pertemuan semula yang turut dihadiri bekas guru kelas mereka, Oh Swee Tee, 82.

Sahol berkata, masyarakat perlu menganggap diri sendiri tiada beza antara bangsa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:13 AM