WONG Chun Wai. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
WONG Chun Wai. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) disarankan bergabung bagi memperluaskan program perpaduan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Saranan itu disuarakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai yang menyifatkan, penganjuran program seumpama itu wajar diperluaskan bagi menyuntik dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid dan pelajar.

"Saya sudah sertai program ini empat ke lima tahun… bagus kalau sekolah-sekolah lain di negara ini adakan program seumpama ini antaranya dengan menganjurkan sambutan hari perpaduan.

"Bagus juga kalau KPM dan KPN dapat melaksanakan program seumpama ini di sekolah di seluruh negara mengikut modul dibuat Wesley Methodist School Kuala Lumpur (WMSKL) ini.

"Kami harap dua kementerian ini boleh menerima cadangan ini," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Perpaduan 2024 dan Pelancaran Buku: Antologi Puisi - Jom Membina, Jangan Membinasa di WMSKL, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy dan Sasterawan Negara ke-10 merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anuar Rethwan.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman yang turut mendeklamasikan puisi bertajuk Satu Lagu, Irama Berbeza.

Ahmad Zaini turut menyokong cadangan terbabit dengan media mampu memainkan peranan membantu kementerian terbabit dalam mempromosikan perpaduan di negara ini.

"Saya terkejut apabila hadiri program hari ini buat pertama kali kerana pengisian bukan saja menghiburkan, tetapi turut menerapkan semangat perpaduan untuk anak-anak yang ambil bahagian dan mereka yang hadir hari ini.

"Satu program sangat menarik dan saya sudah berbincang dengan Pengerusi Bernama dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, malah NSTP sendiri akan memberikan sokongan kepada program seumpama ini.

"Gabungan kedua-dua kementerian ini sangat penting dalam menjadikan program sama di seluruh negara.

"Dan sebagai media, kita akan ambil inisiatif sama dengan membantu kementerian dalam memupuk perpaduan dalam negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengetua WMSKL, Wong Chee Kheon berkata, buku berkenaan dihasilkan sepenuhnya membabitkan penyertaan 69 pelajar, 33 guru serta 11 penyair terkemuka negara.

"Penganjuran program ini sudah menjadi tradisi di sekolah ini dengan hampir 200 pelajar mengambil bahagian menterjemahkan perpaduan dalam persembahan seperti pidato, dikir barat, tarian dan bercerita.

"Istimewanya tahun ini kita turut lancarkan antologi puisi Jom Membina, Jangan Membinasa yang dihasilkan sepenuhnya warga sekolah ini dengan sokongan penyair kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 2:19 PM