Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperluaskan penubuhan Sekretariat Rukun Negara (SRN) di semua institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Setakat ini, sebanyak 187 SRN sudah ditubuhkan membabitkan 30 IPT awam, 34 IPT swasta, 28 Politeknik, 17 Kolej Matrikulasi, 51 Kolej Komuniti dan 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, SRN yang akan diwujudkan di semua IPT itu antara harapan kementerian supaya mahasiswa akan dapat menjadi duta perpaduan.

HALIMAH ketika sidang media selepas merasmikan Pertandingan Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara 2022. FOTO Izz Laily Hussein
HALIMAH ketika sidang media selepas merasmikan Pertandingan Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara 2022. FOTO Izz Laily Hussein

"Kita tahu dalam universiti terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Mudah-mudahan universiti akan menjadi satu tapak integrasi yang boleh mewujudkan apa yang diharapkan dalam agenda perpaduan nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pertandingan Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara 2022 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Halimah berkata, SRN adalah program di bawah KPN yang mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan bermula tahun ini, pihak kementeriannya sudah mula memberikan sebahagian geran kepada SRN di IPT.

"Tahun ini kita dapat beri sebahagian sahaja geran ini, tetapi Insya-Allah, tahun hadapan kita akan tambahkan lagi geran supaya dengan adanya geran ini maka pelajar kita di universiti akan dapat merangka program yang boleh diadakan berdasarkan kepada modul yang kita akan lancarkan tidak lama lagi.

"Pandangan yang ada dalam modul SRN ini nanti adalah pandangan ahli-ahli SRN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 3:48 PM