IPU dicatatkan pada jam 1 petang oleh Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bacaan IPU 142.
IPU dicatatkan pada jam 1 petang oleh Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bacaan IPU 142.

Kuala Lumpur: Keadaan jerebu di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri di Semenanjung masih tidak banyak berubah sepanjang hari, semalam walaupun hujan lebat pada awal pagi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar, sehingga jam 5 petang semalam, 27 kawasan masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100.

Bacaan tertinggi direkodkan di Kemaman (192) diikuti Balok Baru, Kuantan (187), Jerantut (170), Sri Aman (165), Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh (160) dan Jalan Tasek, Ipoh (159).

Selain itu, bacaan IPU tidak sihat juga dicatatkan di Seberang Jaya 2, Perai (107), Seri Manjung (131), Batu Muda (148), Seremban (135), Nilai (137), Putrajaya (136), Banting (143), Pelabuhan Klang (129), Shah Alam (121), Petaling Jaya (115), Port Dickson (110), Cheras (121), Bandaraya Melaka (107), Bukit Rambai (108), Muar (105), Pasir Gudang (103), Kuching (122), Samarahan (134), Sarikei (142), dan Sibu, 118.

Dalam pada itu, kualiti udara di Kuala Selangor, Universiti Sains Malaysia (USM), Perai, Tanjung Malim, Sungai Petani, Kapit dan Larkin lewat petang semalam juga semakin baik apabila mencatatkan bacaan sederhana kurang daripada 100 berbanding waktu tengah hari.

Sementara itu, 15 kawasan lain iaitu Kota Tinggi, Alor Setar, Sungai Petani, Kota Bharu, Tanah Merah, Tanjung Malim, Kuala Terengganu, Labuan, Miri, Limbang, Kapit, Bintulu, Sandakan, Kota Kinabalu dan Keningau turut merekodkan bacaan IPU sederhana.

Hanya dua kawasan iaitu Kangar dan Langkawi yang mencatatkan bacaan kualiti udara baik di bawah 50.

Punca kejadian jerebu masih disebabkan jerebu merentas sempadan berikutan angin Monsun Barat Daya yang membawa pencemaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail ketika dihubungi mengesahkan hujan pagi semalam bukan hasil pembenihan awan, sebaliknya berlaku secara semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 9:40 AM