ROSMAH (tengah) bersama peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu di Seri Perdana, semalam.
ROSMAH (tengah) bersama peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu di Seri Perdana, semalam.

Putrajaya: Penganjuran Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki kekuatan jati diri dalam bidang bahasa dan budaya, kata isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Usaha sedemikian juga melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang bukan saja berusaha membangunkan sosioekonominya, malah bekerja keras memperkasa bahasa ibunda ke seluruh dunia, katanya.

“Sekurang-kurangnya inilah peringkat permulaan yang harus kita manfaatkan untuk meningkatkan bahasa Melayu ke tahap yang lebih luas di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis resepsi Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015, di sini, semalam.

Beliau berkata, kejayaan menghimpunkan wakil daripada pelbagai negara untuk berpidato dalam bahasa Melayu menggambarkan hakikat bahasa itu mencapai tahap bahasa sejagat atau global, meskipun belum seluas bahasa Inggeris dan Latin.

Katanya, berdasarkan statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu ketika ini dianggar berjumlah 300 juta dan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur di dunia selepas Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/Urdu.

Pertandingan yang memasuki tahun kesembilan penganjuran itu disertai 71 pelajar yang mengambil jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi di seluruh dunia dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Alam Melayu, Kategori Antarabangsa dan Kategori Pelajar Antarabangsa Di Malaysia.

Ia berlangsung selama lima hari mulai hari ini dengan peringkat akhir bakal diadakan pada 8 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.

Bermula tahun ini, peserta juga hanya diberikan tema pidato dan bukan lagi tajuk seperti penganjuran sebelum ini bagi menggalakkan kepelbagaian tajuk berasaskan tema.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 8:43 AM