Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Harga daging tenggiling yang naik mendadak mencecah RM1,000 sekilogram menyebabkan haiwan liar dilindungi itu digilai pemburu haram.

Difahamkan, daging tenggiling dijual di pasaran tempatan sekitar RM300 hingga RM400, namun meningkat lebih tiga kali ganda di pasaran gelap luar negara.

Kegiatan menangkap serta cubaan menyeludup tenggiling ditumpaskan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) susulan penahanan seorang lelaki di Simpang Pulai, Ipoh, Perak, jam 12.10 tengah malam kelmarin.

Sumber berkata, suspek berusia 50-an diberkas ketika memandu Proton Saga bersendirian.

“Sekumpulan enam pegawai Perhilitan diketuai pegawai penguat kuasa Celescoriano Razond kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemui tiga tenggiling dalam but kereta itu.

“Hasil soal siasat, suspek sebelum ini pernah ditangkap kerana kesalahan sama di Terengganu pada 2007,” katanya.

Susulan itu, suspek direman tujuh hari manakala kenderaannya disita.

Difahamkan, tenggiling itu cuba diseludup suspek ke luar negara berdasarkan soal siasat dilakukan.

“Ada kemungkinan suspek bertindak sebagai orang tengah untuk membawa keluar tenggiling itu sebelum diserahkan kepada pembeli,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan Abdul Kadir Abu Hashim mengesahkan tangkapan itu dan berkata, daging haiwan mamalia itu sering mendapat permintaan tinggi daripada penggemar makanan eksotik terutama di luar negara.

Sebelum ini, seorang ahli perniagaan tempatan ditahan Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong kerana disyaki menyeludup masuk 3,300 kilogram sisik tenggiling bernilai HK17 juta (RM7 juta) melalui pelabuhan negara itu.

Sisik itu diambil daripada lebih 8,000 tenggiling yang dibunuh dan disembunyikan dalam dua kontena dari Afrika melalui Malaysia manakala pada Disember 2013, seorang lelaki tempatan ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 ketika cuba menyeludup 28 tenggiling bernilai RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:06 AM