PEGAWAI Perhilitan menjalankan tugas melupuskan sisik Tenggiling di Pusat Kualiti Alam, Seremban, Negeri Sembilan.
PEGAWAI Perhilitan menjalankan tugas melupuskan sisik Tenggiling di Pusat Kualiti Alam, Seremban, Negeri Sembilan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Sisik Tenggiling (pangolin scale) seberat lebih dua tan bernilai kira-kira US Dollar 6.17 juta (RM 25,390,575) di pasaran gelap dilupuskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, proses melupuskan barang kes sisik Tenggiling seberat 2,058 kilogram (kg) dilakukan di Pusat Kualiti Alam, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Menurutnya, kaedah pelupusan itu menggunakan kaedah pembakaran di dalam insinerator di pusat berkenaan.

"Semua sisik Tenggiling ini adalah hasil rampasan beberapa kes bermula tahun 2017 sehingga tahun 2019. Sebahagaian besarnya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum diserahkan kepada Perhilitan.

"Haiwan tenggiling adalah hidupan liar yang disenaraikan sebagai spesies yang tidak boleh di Perdagangan dibawah Konvesyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

"Pelupusan sisik tenggiling ini adalah satu kejayaan besar untuk negara sekaligus menunjukkan tahap keseriusan negara dalam membendung penyeludupan hidupan liar. Tindakan ini juga adalah salah satu obligasi negara di bawah CITES," katanya.

Beliau berkata, sisik Tenggiling kerap diseludup ke China susulan kepercayaan ia mempunyai kebaikan memulihkan pelbagai penyakit.

"Sisik tenggiling mendapat permintaan tinggi kerana banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan harga sisik haiwan itu boleh mencecah sehingga RM12,800 untuk satu kg," katanya.

JKDM sebelum ini turut mematahkan cubaan menyeludup sisik tenggiling seberat 6,160 kg bernilai RM78 juta di Pelabuhan Utara, Selangor pada 1 April lalu.

Cubaan menyeludup sisik tenggiling itu dikesan sepasukan anggota JKDM Zon Tengah Unit II selepas menahan dan memeriksa sebuah kontena.

Siasatan mendapati sisik tenggiling itu disembunyi di sebalik guni berisi kacang gajus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 9:09 AM