Ridwan Rusdi bersama keluarga ketika membeli pakaian persiapan Hari Raya Aidilfitri   di Jalan TAR.
Ridwan Rusdi bersama keluarga ketika membeli pakaian persiapan Hari Raya Aidilfitri di Jalan TAR.
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun kebanyakan warga kota sudah pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri yang semakin hampir, masih ramai yang tetap memilih melakukan persiapan hari raya di saat akhir.

Kemeriahan membeli-belah di saat akhir juga lebih dirasai apabila penjual mula menurunkan harga berbanding ketika di awal Ramadan lalu.

Malah peniaga juga berlumba-lumba memberikan ‘harga runtuh’ untuk melariskan barangan jualan mereka.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India semalam mendapati ia sesak dengan pengunjung yang ingin membeli kelengkapan hari raya sebelum pulang ke kampung.

Bagi pembeli, Hajiah Abdullah, 48, dia sanggup datang dari Kuantan ke Kuala Lumpur semata-mata untuk merasai keseronokan berbelanja di sini.

Menurutnya, selepas membeli barang keperluan di Jalan TAR, dia bersama dua anak pulang semula ke Kuantan sebelum berhari raya di kampung suami di Tanjung Karang, Selangor.

“Persiapan dah dibuat awal tapi saja suka-suka datang sini untuk beli beberapa barang lain. Harga yang ditawarkan pun lebih murah berbanding awal pada Ramadan,” katanya.

Pekerja swasta, Ridwan Rusdi, 35, pula berkata dia dan isterinya sengaja memilih membuat persiapan di saat akhir kerana ingin merasai suasana hari raya.

“Selalunya saya akan datang sini pada awal dan penghujung bulan puasa. Membeli-belah di penghujung Ramadan membuatkan saya teruja terutama melihat gelagat orang ramai.

“Walaupun terpaksa bersesak, saat begini adalah sesuatu yang manis untuk dikenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 9:10 AM