RUMAH Zero (gambar kecil) yang hangus dalam kebakaran di  Kampung Pantai Bahagia.
RUMAH Zero (gambar kecil) yang hangus dalam kebakaran di Kampung Pantai Bahagia.
Oleh Junaidi Ladjana dan Wahi Aziz


Kudat: Hasrat keluarga kumpulan pelawak yang juga juara Maharaja Lawak Mega 2014, Zero mengadakan kenduri doa selamat sempena menyambut Ramadan hari ini, tidak kesampaian apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pantai Bahagia, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu memusnahkan 69 rumah membabitkan 300 penduduk yang hilang tempat tinggal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penghuni termasuk ibu bapa serta adik beradik kumpulan pelawak itu sempat menyelamatkan diri.

Menurut ahli kumpulan Zero, Sharid Kunal Doli Sharif (Atu) berkata, ketika kejadian dia bersama dua abangnya Mohd Syaiful (Syaiful) dan Sharif Kadir (Sharif) di Kuala Lumpur manakala adik-beradik lain bersama ibu bapanya di kampung.

“Ketika itu, kami terbabit dengan penggambaran program raya di Kuala Lumpur sebelum ibu memaklumkan rumah musnah terbakar.

“Tanpa berlengah kami terus pulang ke kampung dan tiba di Kudat pada 2 pagi tadi (semalam) namun tiada apa yang tinggal semuanya musnah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Atu berkata, menurut ibunya, ketika kejadian mereka sekeluarga membuat persiapan kenduri doa selamat sempena menyambut kehadiran Ramadan namun tidak sempat mengadakan kenduri itu.

“Ketika itu, persiapan kenduri doa selamat sudah selesai tinggal menunggu jemaah untuk datang ke rumah namun tidak sempat apabila berlaku kebakaran dan rumah kami musnah terbakar.

“Hanya dokumen penting sempat diselamatkan oleh ibu bapa dan adik-beradik saya namun bersyukur mereka semua selamat.

“Saya dan keluarga reda dengan dugaan ini. InsyaAllah dalam keadaan mencabar ini kami bersyukur kerana masih dapat menyambut Ramadan secara sederhana.”

“Sedih memang sedih tapi syukurlah ibu dan adik-beradik semua selamat walaupun rumah kami musnah habis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 9:08 AM