MUHYIDDIN berinteraksi dengan pelajar OKU.
MUHYIDDIN berinteraksi dengan pelajar OKU.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Inisiatif Kementerian Pendidikan mewujudkan Pusat Tingkatan Enam adalah usaha penjenamaan semula bagi meningkatkan lagi imej, sistem dan kualiti pendidikan supaya setanding dengan sistem prauniversiti lain.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi Gelombang Satu, kementerian berhasrat mengukuhkan laluan pendidikan termasuklah mengadakan pelan tindakan penjenamaan semula tingkatan enam.

Beliau berkata, pelan itu membabitkan lima fokus utama iaitu imej dan anjakan minda, infra dan info struktur, pengurusan pentadbiran, mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kurikulum.

“Dengan penjenamaan ini, sekolah yang menawarkan pelajaran tingkatan enam akan diberi kuasa untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memberi peluang kepada pelajar membuat persediaan sebelum memasuki universiti.

“Ia turut memastikan pelajar (tingkatan enam) dapat mengembangkan bakat serta kreativiti mereka untuk menjadi generasi muda berimpak tinggi, glokal dan universal yang membawa kesejahteraan kepada negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Tingkatan Enam Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Mahkota, semalam.

Muhyiddin berkata, pusat itu menggabungkan kelas tingkatan enam dari beberapa sekolah arus perdana dan ia terbahagi kepada tiga mod iaitu Mod Satu, Mod Dua dan Mod Tiga.

Berdasarkan perancangan, bilangan Pusat Tingkatan Enam Mod Tiga akan berkurangan secara berperingkat. Kerajaan mahu hanya Pusat Tingkatan Enam Mod Satu saja yang beroperasi di seluruh negara dengan setiap Pejabat Pendidikan Daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu Pusat Tingkatan Enam Mod Satu.

“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11, kementerian juga merancang menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih lengkap menerusi projek pembangunan serta kerja ubah suai naik taraf kemudahan sekolah.

“Kita percaya, persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, menarik dan berkesan itu akan dapat membantu pelajar menyiapkan diri bagi memperoleh pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 8:04 AM