AFIDIL Hairil (kanan) bersama rakan dari luar negara ketika mendapatkan lesen di New Zealand beberapa tahun lalu.
AFIDIL Hairil (kanan) bersama rakan dari luar negara ketika mendapatkan lesen di New Zealand beberapa tahun lalu.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Pengalaman mengikuti misi mencari harta karun di perairan Mersing, Johor pada 2006 tidak pernah luput dari ingatan Afidil Hairil Suhami, 29, yang menggunakan kepakarannya menjejak barangan bernilai.

Afidil berkata, misi mencari harta karun bersama pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemukan pelbagai barangan berharga peninggalan sejarah.

Katanya, dengan bantuan peranti sistem penentu kedudukan global (GPS), lokasi kapal karam dijejaki berjaya menemukan meriam lama, pinggan mangkuk seramik daripada China, syiling dan pedang samurai pada kedalaman 25 meter.

“Sebagai orang baru dalam bidang ini sudah tentunya saya berdepan dengan risiko terutama membabitkan serangan ikan yu.

“Bagaimanapun ketakutan hilang sejurus melihat barangan berharga yang dikesan menyebabkan diri teruja dan melupakan ketakutan seketika,” katanya menceritakan pengalamannya sebagai penyelam komersial.

Menurut Afidil Hairil, keadaan laut bergelora dengan jarak penglihatan dua hingga tiga meter menyukarkan misi pencarian harta karun.

Namun katanya, dengan bantuan radar pengesan, Projek Muzium Negara itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Bukan saja dapat melihat harta karun, tetapi saya berpeluang melihat kapal karam yang pernah tercatat dalam sejarah negara,” katanya.

Menceritakan bidang Underwater Wet Welding diceburinya, Afidil Hairil berkata, dia tertarik dengan kerjaya mencabar dan berisiko itu kerana sudah didedahkan oleh bapanya yang mempunyai syarikat pembinaan dasar laut sejak 30 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 8:27 AM