Agensi

Mamuju Utara (Indonesia): Penduduk di Desa Tikke di Sulawesi Barat heboh apabila sekumpulan lelaki lengkap dengan jentera berat menggali satu kawasan pantai di kampung itu bagi mencari harta karun.

Kumpulan itu dilapor memulakan pencarian sejak Jumaat lalu selepas satu peta harta karun tersebar di laman sosial baru-baru ini.

Tindakan kumpulan itu menyebabkan ribuan penduduk kampung termasuk dari daerah berdekatan berkumpul di pantai Dusun Muara untuk melihat aktiviti berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan sekumpulan anggota polis terpaksa mengawal orang ramai daripada menghampiri kawasan pencarian.

Seorang anggota kumpulan pencarian itu, Ansar berkata, satu pasukan penyelam profesional dipanggil bagi menyiasat lubang sedalam hampir empat meter yang digali jentera berat berkenaan.

“Walaupun belum lagi menemui harta karun, tetapi pasukan penyelam ini mendapati ada tanda-tanda terdapatnya kubu di dalam lubang ini.

“Kami percaya kubu ini mengandungi harta bernilai berbilion rupiah,” katanya kepada akhbar Bangka Pos kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, operasi itu terpaksa dihentikan sementara akibat air pasang dan akan disambung semula sehingga harta karun itu ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:07 AM