Kota Bharu: Bebas ataupun longgar. Itulah rumusan wartawan ketika menyusuri Sungai Golok yang memisahkan dua negara iaitu Thailand-Malaysia.

Wartawan dan jurugambar Zulfadzli Zulkifli dibawa menyusuri beberapa pangkalan haram di Sungai Golok bermula jam 11 pagi pada 6 Jun lalu.

Sepanjang lebih sejam menyusuri laluan sungai antara Pengkalan Kubor hingga ke Tak Bai, tiada langsung kelibat pihak penguat kuasa di kawasan sungai berkenaan terserempak dengan wartawan melakukan rondaan.

Kehadiran anggota penguat kuasa seperti polis dan tentera di laluan darat memang banyak berikutan pos kawalan yang diwujudkan sepanjang laluan berkenaan namun apa yang dilihat dengan mata dan kepala sendiri, tiada rondaan di kawasan sungai yang wujudnya lebih 20 pangkalan haram.

Apa yang dimaklumkan kepada wartawan adalah pangkalan haram sepanjang sungai itu digunakan untuk menyeludup barangan seperti senjata api, beras, gula dan minyak.

Namun, pemilik bot yang membawa wartawan mengakui ada kalanya ia (sungai) dan pangkalan haram itu digunakan untuk menyeludup manusia.

Sepanjang menaiki bot menyusuri Sungai Golok itu, wartawan akui ada beberapa anggota polis ditempatkan di pos kawalan di kawasan berhadapan dengan Tak Bai Thailand tetapi di kawasan agak jauh daripada Tak Bai, tiada pula rondaan.

Mungkin rondaan itu dilakukan pihak berkenaan pada waktu lain ataupun dilakukan secara rawak mengikut maklumat risikan yang mereka terima...itulah persoalan yang bermain di kepala wartawan ketika itu.

Apa yang wartawan saksikan, kawasan sungai di Pengkalan Kubor yang agak jauh daripada Tak Bai inilah wujud puluhan pangkalan haram dan kegiatan penyeludupan barangan dikatakan bermula selepas Asar hinggalah tengah malam ataupun awal pagi.

Malah, selepas lebih 30 minit menyusuri laluan sungai iaitu di kawasan Pengkalan Kubur, wartawan terserempak dengan sebuah bot yang menyeludup minyak ke Thailand.

Wartawan dan jurugambar yang cuba untuk merakamkan aksi berkenaan bagaimanapun diarahkan pemilik bot supaya tidak berbuat demikian atas faktor keselamatan.

“Jangan ambil gambar, bahaya...bukan kamu saja nanti kena, saya pun kena,” kata pemilik bot itu. Disebabkan menghargai kesanggupan pemilik bot membawa wartawan dan jurugambar, kami berdua akur dengan permintaannya supaya tidak merakamkan sebarang aksi penyeludupan minyak yang berlaku di sungai berkenaan biarpun akui agak kecewa dengan permintaan itu.

“Lagipun adik berdua kali ini bukan nak cari (orang seludup) minyak kan? Nanti pak cik tunjukkan beberapa pangkalan haram yang sering digunakan untuk menyeludup orang,” katanya.

Wartawan dan jurugambar hanya menganggukkan kepala tanda faham dan menghormati permintaan pemilik bot berkenaan sebelum ditunjukkan beberapa rumah di Thailand yang menjadi tempat simpanan pelarian ataupun pendatang asing sebelum diseludup ke Malaysia.

“Sekarang sudah tidak banyak macam dulu tetapi memang ada,” tambah pemilik bot itu lagi.

Selepas menyusuri sungai berkenaan hampir sejam, wartawan dan jurugambar dibawa kembali ke sebelah Malaysia. Apa yang bermain di fikiran wartawan adalah, jika siang hari pun penyeludup boleh menghantar barangan seperti minyak, gula dan beras dari Malaysia ke Thailand melalui Sungai Golok, apatah lagi waktu malam dan awal pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 10:52 AM