ANTARA makanan sejuk beku yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
ANTARA makanan sejuk beku yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris


CURIGA dengan aktiviti memunggah sejumlah guni putih di tebing Sungai Golok, Tumpat berjaya mematahkan perbuatan menyeludup makanan sejuk beku termasuk 12 kampit beras, malam tadi.

Dalam Ops Benteng Covid-19 itu, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 444 paket makanan sejuk beku dan 12 guni beras seberat 292 kilogram bernilai RM9,124.40 di pangkalan haram Jambatan Sungai, Kampung Mentua.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika anggotanya membuat rondaan bermotosikal, mereka terdengar bunyi enjin bot di tebing sungai.

"Hasil penelitian yang dibuat mendapati terdapat aktiviti pemunggahan sejumlah guni putih dalam keadaan mencurigakan ke dalam sebuah stor kayu di pengkalan haram.

"Apabila anggota menghampiri stor terbabit sambil memperkenalkan diri, sekumpulan lelaki bertindak melarikan diri ke kawasan semak yang berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azhari berkata, semua guni berkenaan disyaki diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan serta mengelak kutipan cukai kerajaan.

"Semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk laporan dan serahan kepada agensi yang berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 12:42 PM