LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Kelantan menjalankan siasatan di lokasi Pengkalan Haram Ikan Kering di Rantau Panjang yang didakwa digunakan pihak pemisah Thailand untuk melakukan serangan dalam kejadian awal pagi semalam di Tak Bai, Narathiwat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia susulan dakwaan pihak Tentera Thailand mengatakan serangan terhadap pos tentera berkenaan dilakukan kumpulan pemisah Thailand dari tebing sungai di Malaysia.

"Namun, dakwaan dibuat tidak mempunyai asas yang kukuh kerana tiada sebarang pembuktian dikemukakan oleh pihak Tentera Thailand.

"Kita sudah menjalankan siasatan di lokasi, namun tidak menjumpai sebarang bentuk bukti iaitu kelongsong peluru dan kesan tembakan di lokasi berkenaan.

"Susulan kejadian itu, polis Kelantan memperketat kawalan di sepanjang sempadan antara kedua-dua negara dengan melakukan pemantauan secara berterusan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, seorang anggota renjer maut dan empat lagi parah dalam satu serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pos kawalan di Tak Bai, Narathiwat dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi (waktu tempatan).

Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak berkata, sekumpulan lelaki bersenjata itu melontar sekurang-kurangnya 10 bom paip, dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pos kawalan itu yang mana sepasukan lapan anggota renjer bertugas.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, jarak lokasi kejadian diantara pos tentera Thailand dengan pengkalan haram Ikan Kering adalah lebih kurang 40 meter.

Katanya, impak serangan iaitu bunyi tembakan dan letupan bom didengari di beberapa kampung di sebelah Malaysia iaitu Kampung Kubang Pak Itam, Kampung Meranti, Kampung Bakong dan Kampung Jeram Perdah.

"Kejadian itu dipercayai berlaku selama 45 minit yang mengakibatkan satu kematian dan empat cedera di pihak Tentera Thailand," katanya.

Berita berkaitan

  • 7 ditahan cuba seludup barang di Sungai Golok
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 2:33 PM