Alamin dibawa ke Mahkamah Khas SPRM dekat Ipoh, semalam.
Alamin dibawa ke Mahkamah Khas SPRM dekat Ipoh, semalam.

Ipoh: “Saya hanya mahu cari wang, jika tidak kerja saya tidak boleh makan dan menyara keluarga,” itu rayuan lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, semalam, terhadap kesalahan memberi rasuah kepada seorang anggota polis, 2 Jun lalu.

Tertuduh, AlAmin mengaku melakukan kesalahan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Rihaida menjatuhkan hukuman penjara enam hari terhadap tertuduh mulai tarikh ditangkap serta denda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Yong Ah Lai.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa cuba merasuah seorang konstabel yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu sebanyak RM50 di depan sebuah kedai runcit di Jalan Taufil, Pengkalan Hulu, jam 4.15 petang, 2 Jun lalu.

Dia didakwa memberi sogokan itu bagi melepaskan adiknya dikenali sebagai MD Suman kerana menunggang motosikal Modenas Kriss tanpa lesen sah dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b), Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh ditangkap anggota SPRM sehari selepas kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:54 AM