NAJIB  menyempurnakan Majlis Pelancaran Bangunan FELCRA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
NAJIB menyempurnakan Majlis Pelancaran Bangunan FELCRA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu FELCRA Berhad mengembalikan hasil mahsul syarikat itu kepada rakyat luar bandar setiap kali memperoleh keuntungan.

Perdana Menteri mengingatkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengamalkan prinsip ekonomi yang berkaitan antara bandar dengan luar bandar.

Selain itu kata beliau, dasar itu juga mesti ada pertalian dengan pasaran global bukan semata-mata domestik.

“Maka dari situ kita akan mendapat lonjakan nilai.

“Inilah hubung kait antara ekonomi bandar dan luar bandar yang kalau kukuh pertalian dan lebih besar penjanaan kekayaan untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pembangunan Menara FELCRA di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi FELCRA Datuk Bung Mokhtar Radin.

Projek menara korporat dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM850 juta itu lambang kejayaan GLC yang berkembang pesat sejak 49 tahun penubuhannya.

Menara itu dibina di atas tanah seluas 1.73 hektar milik syarikat terbabit bernilai RM500 juta di Jalan Sultan Petra di sini, bukan saja akan menempatkan pejabat pentadbiran FELCRA dan anak syarikatnya. Malah bakal mempunyai sebuah dewan bankuet yang boleh memuatkan kira-kira 2,000 orang dan ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Dalam pada itu, Najib turut melancarkan Tabung Amanah Peserta FELCRA dengan dana permulaan RM10 juta.

“Permodalan FELCRA Sdn Bhd akan mengendalikan tabung berkenaan dan bakal menyuntik sekurang-kurangnya RM5 juta setiap tahun,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 9:59 AM