NAJIB melihat replika bangunan Pusat Bandar Kampung Baru pada Majlis Mesra Rakyat Kampung Baru, Legasi Baru di Tapak Projek Legasi (UDA), Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru.
NAJIB melihat replika bangunan Pusat Bandar Kampung Baru pada Majlis Mesra Rakyat Kampung Baru, Legasi Baru di Tapak Projek Legasi (UDA), Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Saya tidak mahu orang Melayu di ibu kota sinonim dengan taraf setinggan atau marhain, tidak boleh,” tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sebaliknya anak Melayu di bandar raya ini mesti menjadi komuniti berekonomi maju dan status sosial yang dibanggakan.

Menurutnya, rancangan pembangunan di Kampung Baru yang terletak di tengah ibu kota menjadi lambang kepada kemajuan kaum seperti pelan Pusat Bandar Kampung Baru (KBCC).

“Kita ada untuk orang lain Jalan Petaling dan Brickfields, jadi kerajaan mahu lihat orang Melayu berjaya seperti yang lain.

“Kerana itu kerajaan komited membangunkan KBCC dalam usaha melonjakkan taraf hidup dan ekonomi kaum di ibu kota,” katanya pada Majlis Mesra Rakyat Kampung Baru, Legasi Baru, semalam.

Beliau turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan UDA Holdings Berhad (UDA) yang dikenali sebagai Legasi Kampung Baru di Jalan Raja Muda Musa.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Projek Legasi Kampung Baru dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta itu dimajukan UDA di atas tapak seluas 1.14 hektar.

Ia antara lain merangkumi 639 unit kediaman 43 tingkat dengan 48 unit ruang niaga serta menara 30 tingkat.

Dalam pada itu, Najib mahu melihat penduduk Kampung Baru mampu memperoleh pendapatan tinggi berikutan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan mereka.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk kampung itu tidak mudah menjual tanah selepas nilai hartanah yang dijangka meningkat.

Beliau berkata, rancangan pembangunan di kawasan itu turut memuatkan cadangan pembinaan sebuah pusat bandar yang menjadi pusat utama kawasan itu iaitu KBCC.

Kata beliau, KBCC akan mempunyai pejabat, hotel, kawasan persiaran dan infrastruktur moden lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 10:01 AM