Orang ramai dan murid sekolah bergotong-royong menanam pokok  di Taman Tasik Tun Jeanne Abdullah, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Orang ramai dan murid sekolah bergotong-royong menanam pokok di Taman Tasik Tun Jeanne Abdullah, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Pasir Gudang: Universiti Awam (UA) disaran membangunkan sebuah fakulti khas bagi memfokuskan mengenai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap hutan hujan tropika yang mempunyai nilai perubatan tinggi dan masih belum diterokai.

Pengerusi Landskap Malaysia Tun Jeanne Abdullah berkata, usaha terbabit perlu memandangkan belum ada fakulti khas diwujudkan ketika ini menjalankan kajian saintifik mengenai khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara di negara ini.

“Saya berharap ada universiti yang mempunyai fakulti khas untuk mengkaji mengenai perubatan hutan hujan tropika.

“Sehingga kini, belum ada lagi universiti mengkhususkan (menubuhkan fakulti khas) di negara ini terhadap hutan hujan tropika yang menjadi antara tertua di dunia serta kaya dengan kepelbagaian biodiversiti,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Hutan Kita@Bandar Seri Alam sempena Hari Kepelbagaian Biologi Sedunia, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bersama pemaju hartanah di Town Park 1, Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Sempena program itu, 1,000 batang pokok ditanam sebagai inisiatif bumi hijau Iskandar Malaysia sekali gus menyatakan komitmen wilayah ini ke arah masyarakat rendah karbon di Iskandar Malaysia.

Antara pokok yang ditanam ialah salam, gelam, kelat paya dan ara.

Sebagai simbolik perasmian, pemaju Bandar Seri Alam, UMLand turut mengumumkan nama baru bagi Town Park 1, Bandar Seri Alam, dekat sini, sebagai Taman Tasik Tun Jeanne Abdullah bertepatan kehadirannya merasmikan pelancaran program itu.

Tun Jeanne berkata, sudah tiba masanya usaha dilakukan semua pihak bagi menjayakan aktiviti penanaman pokok yang memberi impak positif dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

“Inisiatif itu boleh dilaksanakan menerusi aktiviti menanam pokok hutan di persekitaran perumahan baru dibina pemaju seperti dilaksanakan pada pagi ini (semalam).

“Malah, usaha menanam pokok hutan di sepanjang Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) perlu diperbanyakkan bukan saja membabitkan sejenis pokok saja, tetapi menjangkaui lebih dari spesies sedia ada ketika ini,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha pemaju memberikan nama Taman Tasik Tun Jeanne Abdullah, beliau sangat terharu dengan usaha pihak berkenaan dan ia sebagai tanda pengiktirafan paling tinggi.

“Memang saya terkejut dan tidak sangka, mereka memberikan nama taman ini dengan nama saya walaupun bukan anak tempatan.

“Sudah tentunya ia akan dekat di hati saya selepas ini dan saya harap ia dapat dimanfaatkan komuniti masyarakat setempat untuk melaksanakan pelbagai program dirancang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:23 AM