HAYATI dan hargai kecantikan dan ketenangan hutan di FRIM dengan meneroka pelbagai sumber hutan termasuk 71 spesies tumbuhan terancam yang ditanam sekitar hutan itu.
HAYATI dan hargai kecantikan dan ketenangan hutan di FRIM dengan meneroka pelbagai sumber hutan termasuk 71 spesies tumbuhan terancam yang ditanam sekitar hutan itu.
TAMAN Botani dikhaskan untuk pengunjung melakukan aktiviti senaman dan berjoging.
TAMAN Botani dikhaskan untuk pengunjung melakukan aktiviti senaman dan berjoging.
VILLA Aromatica menjadi lokasi tumpuan mengadakan majlis perkahwinan selain tempat penginapan kepada pelawat.
VILLA Aromatica menjadi lokasi tumpuan mengadakan majlis perkahwinan selain tempat penginapan kepada pelawat.
KEUNIKAN Air Terjun Sungai  Kroh sering menjadi tumpuan  untuk perkelahan mahupun penggambaran.
KEUNIKAN Air Terjun Sungai Kroh sering menjadi tumpuan untuk perkelahan mahupun penggambaran.
KOLAM mandi buatan berhampiran air terjun disediakan untuk kanak-kanak.
KOLAM mandi buatan berhampiran air terjun disediakan untuk kanak-kanak.
TITIAN Silara sepanjang 120 meter dengan 30 meter tinggi memberi pengalaman berbeza dengan pemandangan tidak ternilai.
TITIAN Silara sepanjang 120 meter dengan 30 meter tinggi memberi pengalaman berbeza dengan pemandangan tidak ternilai.
ANTARA pelawat berkumpulan bersama jurupandu yang turut melalui Denai Rover sebelum melalui Titian Silara.
ANTARA pelawat berkumpulan bersama jurupandu yang turut melalui Denai Rover sebelum melalui Titian Silara.
KEM Perah menyediakan kemudahan dan aktiviti menyeronokkan selain dapat memupuk semangat cintakan sumber alam.
KEM Perah menyediakan kemudahan dan aktiviti menyeronokkan selain dapat memupuk semangat cintakan sumber alam.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Tenang dan mendamaikan. Itu yang dapat digambarkan ketika berpeluang bermalam di kawasan dikelilingi hutan tanpa gangguan dan kebisingan kota walaupun kawasan itu sebenarnya terletak di pinggir Kuala Lumpur.

Lebih menakjubkan, suasana paginya lebih menyegarkan kerana bukan saja dikelilingi kabus, malah turut 'dihiburkan' dengan bunyi-bunyian alam serta bauan hutan yang nyaman.

Terletak hanya 16 kilometer dari ibu kota, pengalaman di rumah tetamu Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pasti tidak mengecewakan kerana pengunjung dapat merasai suasana bermalam di hutan tanpa perlu pergi jauh.

Pasti ramai belum menyedari kewujudan tiga rumah tetamu dan dua vila di FRIM, Kepong yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang ingin menikmati ketenangan di hutan.

Ketua Unit Fasiliti FRIM, Mohamad Shapiei Jusoh berkata, rumah tetamu dan vila itu asalnya rumah pegawai dan kakitangan FRIM yang diubah suai menjadi rumah penginapan untuk pengunjung institut itu.

“Kelebihan penginapan di sini bukan saja keunikan bermalam dengan dikelili­ngi rimba, malah ia terletak berdekatan pusat bandar raya. Warga kota tidak perlu pergi jauh untuk merasai pengalaman ini.

“Kebiasaannya vila ditempah untuk majlis perkahwinan dan majlis kecil seperti perjumpaan, mesyuarat dan hari keluarga.

“Setiap vila dan rumah tetamu ada keunikan tersendiri. Pengunjung turut berpeluang melakukan aktiviti disediakan sekitar FRIM selain bermalam di sini,” katanya.

Pelbagai kemudahan turut disediakan kepada pengunjung yang mahu melakukan aktiviti pada waktu siang.

Selain berbasikal di kawasan FRIM (bukan dalam kawasan hutan) dan berjoging di Taman Botani FRIM, Air Terjun Sungai Kroh antara lokasi tumpuan yang perlu dikunjungi.

Mohamad Shapiei berkata, air terjun berdekatan Rumah Tetamu Sungai Kroh bukan saja menjadi tumpuan pencinta alam menikmati suasana dan pemandangan air terjun, tapi turut dijadikan lokasi penggambaran filem dan drama.

“Biasanya lokasi ini tumpuan pasangan yang meminati alam semula jadi dan memilih lokasi ini untuk mengabadikan potret perkahwinan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM, Dr Noor Azlin Yahya berkata, pelawat turut berpeluang meneroka denai alam yang disediakan.

“Ada lima denai alam dibuka untuk lawatan pengunjung iaitu Keruing, Salleh, Sebasah, Engkabang dan Rover.

“Setiap satu ada keunikan dan tema tersendiri bagi memberi kelainan kepada pengunjung,” katanya.

Kira-kira 2,300 spesies tumbuhan boleh ditemui di kawasan hutan FRIM yang ditanam sejak 1920-an.

Lebih menarik, selain berpeluang melihat spesies tumbuhan, hutan FRIM juga berbeza kerana menjadi lokasi penanaman spesies terancam.

“Sebanyak 71 daripada 93 spesies pokok terancam di Semenanjung Malaysia ditanam kawasan kampus FRIM,” katanya.

Katanya, semua denai alam itu dibuka untuk kunjungan semua lapisan umur, namun pelawat perlu mendaftar di Pusat Perkhidmatan Setempat untuk aktiviti treking.

“Seorang jurupandu alam perlu sentiasa bersama pelawat sepanjang aktiviti itu dan bayaran dikenakan untuk perkhidmatannya,” katanya.

Penulis berkesempatan merasai pengalaman melakukan beberapa aktiviti dan melalui dua denai alam iaitu Denai Salleh serta Denai Rover dan terus ke Titian Silara.

Denai Salleh yang mendapat nama sempena Ketua Pengarah FRIM pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor memiliki spesies pokok yang ditanam seawal tahun 1928 seperti pokok kapur, keladan, gaharu, merbau dan rotan.

Sebanyak 22 spesies pokok boleh dijumpai sepanjang denai berkenaan dan nama pokok tidak dilabelkan dan hanya stesen bernombor diletakkan bagi menjadikan pengalaman lebih mencabar.

Pengunjung perlu peka ketika melalui perjalanan sejauh 1,500 meter itu sambil membuat pengecaman spesies dengan bantuan jurupandu alam.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah fenomena ‘crown shyness’ apabila silara (rimbunan daun pada bahagian atas pokok) dipisahkan dengan ruang langit seperti malu-malu terhadap spesies mereka sendiri.

“Pandang ke atas, lihat cantik bukan? Seperti efek mozek dengan ruang langit memisahkan daun pokok berkenaan yang tidak mahu bercantum,” kata jurupandu alam ketika melalui stesen ke-12 di denai berkenaan.

Katanya, seperti magnet yang menolak antara satu sama lain, rimbunan pokok kapur berkenaan masih tidak bersentuhan walaupun dalam keadaan berangin.

Selesai di Denai Salleh, penulis melalui Denai Rover yang menjadi laluan utama ke Titian Silara.

Laluan itu semestinya dinantikan kerana bukan saja dapat mempelajari spesies pokok yang ditanam sekitarnya, tetapi penulis teruja untuk melalui Titian Silara.

Menurut Penolong Pegawai Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM, Wan Mohd Nafizul Hal-Alim Wan Ahmad, titian berkenaan sepanjang 150 meter dan tinggi 30 meter.

“Perjalanan dari Denai Rover menuju Titian Silara mengambil masa kira-kira sejam turut menguji ketahanan fizikal kerana pengunjung perlu mendaki 45 darjah untuk sampai ke titian itu,” katanya

Namun, segala kepenatan yang dirasai sepanjang perjalanan berbaloi kerana pemandangan indah dari atas titian itu serta-merta menghilangkan segala lelah yang dirasai.

Lebih menarik, dari atas Titian Silara anda dapat menikmati pemandangan ibu kota sambil ‘dihiburkan’ nyanyian cengkerik dan suasana nyaman hutan.

Hutan FRIM untuk pencinta alam

FRIM menggalakkan kunjungan pencinta alam yang berminat meneroka khazanah alam semula jadi.

Ekopelancongan yang ditawarkan di FRIM lebih kepada pembelajaran mengenai sumber alam, menghargai sumber di sekeliling sesuai bagi mereka yang gemar meluangkan masa di hutan.

Ini kerana FRIM dalam usaha mengurangkan penyertaan pengunjung yang melakukan aktiviti fizikal seperti berjoging dan berbasikal di denai yang terdapat di FRIM.

FRIM mahu pelawat menikmati kesunyian dan ketenangan di situ seterusnya menghargai hutan yang sudah wujud sejak 1920-an.

Kem Perah

Bagi pengunjung berkumpulan terutama pelajar sekolah, kolej atau universiti, Kem Perah diwujudkan khas untuk aktiviti berkhemah.

Antara aktiviti yang ditawarkan ialah lawatan berpandu ke denai alam, berjalan di dalam hutan pada waktu malam, mencari khazanah alam, Titian Silara, kembara berkompas dan pemerhatian burung.

Kem Perah dinamakan sempena pokok perah (Elateriospermum tapos) yang boleh dijumpai di sekitar kem berkenaan. Ia terletak di kaki bukit dan dikelilingi kehijauan pokok serta bunyi-bunyian hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 11:14 AM