PENANAMAN pokok bakau  untuk memelihara semula ekosistem di kawasan sungai akibat kegiatan penerokaan haram.
PENANAMAN pokok bakau untuk memelihara semula ekosistem di kawasan sungai akibat kegiatan penerokaan haram.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Lagenda Properties Berhad dengan kerjasama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan Persatuan Changkat Keruing mengadakan program penanaman pokok bakau di kawasan simpanan sekitar Sungai Raja Hitam berdekatan dengan Changkat Keruing Riverbank Park, Perak baru-baru ini.

Sebanyak 1,000 pokok bakau ditanam dan program berkenaan turut disokong GEF Small Grants Programme, Yayasan Hasanah dan Rakan Segari.

Penanaman pokok bakau itu bertujuan untuk memelihara semula ekosistem di kawasan sungai akibat kegiatan penerokaan haram yang dijalankan sebelum ini.

Ia juga selaras dengan prinsip pembangunan perbandaran syarikat pemaju itu yang meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai terasnya.

Hutan bakau adalah salah satu persekitaran tanah lembap yang paling produktif dan menghasilkan 10 kali ganda oksigen berbanding hutan tropika.

Malangnya, persekitaran hutan tropika pantai yang unik ini antara habitat paling terancam.

Selain menyediakan 'kediaman' kritikal untuk kepelbagaian flora dan fauna marin serta daratan, ekosistem itu juga mengurangkan kerentanan kepada bencana alam dan kejadian iklim ekstrem.

Ia turut menjadi sistem pertahanan pantai semula jadi, terutama bagi komuniti yang tinggal di sekitar kawasan terbabit.

Antara spesies pokok bakau yang ditanam adalah Rhizophora apiculata dan Bruguiera cylindrica.

Pengarahnya Mohamad Ali Ariffin berkata, nilai hutan bakau dalam memberikan faedah ekonomi, sosial dan alam sekitar kepada penduduk tempatan adalah penting serta perlu dipelihara.

Justeru kata Mohamad Ali, sebagai sebuah syarikat yang mengutamakan kemampanan dan komuniti, pihaknya mahu memainkan peranan dalam memastikan usaha penanaman semula hutan dapat dijalankan dengan segera.

"Kami percaya bahawa menjadi sukarelawan dalam pemuliharaan alam sekitar adalah cara yang ampuh untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

"Ini kerana perlindungan alam semula jadi adalah kunci kepada kemandirian ekosistem hidupan liar dan manusia," katanya.

BERSATU untuk kelestarian alam sekitar.
BERSATU untuk kelestarian alam sekitar.

Selaras dengan Kempen 100 Juta Penanaman Pokok 2021-2025, syarikat terbabit menjalankan peranan untuk memastikan kejayaan agenda Penghijauan Malaysia.

Di kawasan pembangunan Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan, Perak misalnya, pemaju itu turut menanam lebih 18,000 hidupan tumbuhan termasuk spesies terancam seperti Hopea odorata dan Agathis borneensis.

Matlamat konsisten syarikat itu tidak terhad kepada hanya menambah baik biodiversiti, tetapi mengekalkan persekitaran semula jadi yang menjana ekosistem yang sihat dan cekap dalam perbandarannya.

Sementara itu, pembangunan mampan ialah satu cara untuk mewujudkan rumah dan ruang yang memenuhi semua keperluan pemilik tanpa berkompromi dengan alam sekitar serta keperluan generasi akan datang.

Justeru, pihak terbabit berhati-hati memilih tanah yang memerlukan campur tangan minimum terhadap profil persekitarannya.

Ia turut membabitkan penilaian produktiviti tanah jangka panjang di mana syarikat itu hanya membenarkan penukaran tanah daripada hutan bukan primer dan tanah tidak produktif.

Ini kerana syarikat terbabit percaya bahawa pemuliharaan mahupun penambahbaikan ekosistem alam sekitar akan memberikan nilai yang tidak terhingga kepada masyarakat, biodiversiti dan sumber makanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 6:40 AM